PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) telah menerima surat hasrat (Letter of Intent/LoI) daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk pembangunan
Loji Janakuasa Tarbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) 2,100 MW di Kapar, Selangor.
Projek itu akan dijalankan dengan kerjasama Widad Business Group Sdn. Bhd. dan dijadualkan mencapai Tarikh Operasi Komersial menjelang 2031.
Stesen janakuasa baharu itu akan menggunakan teknologi bersih untuk menyokong pelan Peralihan Tenaga TNB yang dipercepatkan didorong oleh aspirasi pelepasan sifar bersih Kumpulan menjelang 2050 dan sasaran TNB untuk mengurangkan kapasiti penjanaan arang batunya sebanyak 50 peratus dan intensiti pelepasan karbon sebanyak 35 peratus pada 2035.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, projek itu mempunyai anggaran pelaburan RM9.5 bilion dan diunjurkan untuk menyumbang Pendapatan Sebelum Faedah & Cukai (EBIT) kira-kira RM400 juta setahun.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengukuhkan lagi pelan Peralihan Tenaga TNB yang dipercepatkan, bagi menyokong negara neutral karbon dan Dasar Tenaga Negara, yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
“Projek itu akan dibina di atas tanah milik TNB Genco terletak di Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz.
“Sebagai sebahagian daripada misi Sifar Bersih 2050 TNB, syarikat akan menghentikan stesen arang batu secara berperingkat dan akan menggantikannya dengan stesen janakuasa yang lebih cekap.
“Kami juga sedang meninjau untuk menerima teknologi hijau baharu di mana stesen janakuasa gas baharu akan dibangunkan dengan teknologi hidrogen masa depan sebagai bahan api ganti kepada gas,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti berkata, TNB Genco, sebagai sebahagian daripada peranannya dalam menyokong komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG), sedang meninjau untuk mempromosikan teknologi hijau seperti hidrogen sebagai bahan api alternatif pada masa hadapan.
Beliau menjelaskan bahawa menggantikan gas asli dengan bahan api hidrogen yang dinyalakan pada stesen janakuasa berkapasiti 2100MW pada masa hadapan berpotensi untuk mengelakkan 4.7 juta tan pelepasan bersamaan karbon dioksida (tCO2e) setahun bersamaan dengan karbon yang dikeluarkan daripada sejuta kereta setiap tahun.
“Projek itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang seterusnya akan meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup masyarakat sekitar di Kapar, sekali gus menghasilkan kemakmuran ekonomi dan kualiti hidup yang tinggi,” katanya. – UTUSAN










