TNB rangkul anugerah emas

TNB rangkul anugerah emas

AHMAD HUSHAIRI IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui TNB Global Business Solutions (TGBS) merangkul pengiktirafan tertinggi Anugerah Emas bagi Best Shared Services Team di majlis berprestij Shared Services & Outsourcing Network (SSON) Asia Impact Awards, pada 19 Oktober lalu.

TGBS mengatasi 11 syarikat gergasi lain seperti Coca-Cola Japan Business Services, Bri­tish American Tobbaco, PepsiCo, Otis Worldwide dan Boston Scientific dalam senarai pendek akhir calon Best Shared Services Team (kategori utama) sesi penganugerahan tersebut.

Anugerah tersebut adalah pencapaian terbaik TGBS yang menempa nama empat tahun berturut-turut di SSON Asia Impact Awards dalam beberapa kategori mulai 2019.

Kejayaan itu dicapai hanya selepas setahun penubuhan­nya di bawah inisiatif Rei­magining TNB bagi mengurus keperluan pelbagai warga kerja secara berpusat.

Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB, Ahmad Hushairi Ibrahim berkata, anugerah itu adalah pengiktirafan kepada TNB keseluruhannya yang menyokong perkhidmatan diberikan oleh bahagian berkenaan dan komitmen warga kerja TGBS membangunkan perkhidmatan cekap dalam tempoh singkat.

“Anugerah ini adalah bukti dedikasi, usaha dan sema­ngat kerjasama warga TNB bagi mendapatkan hasil yang cemerlang dalam mendukung aspirasi menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa,” katanya selepas menerima anugerah itu, di Si­ngapura.

Di majlis itu juga, TNB turut dinobatkan antara Top 20 Most Admired Shared Services Organisations (SSOs) & Global Business Services (GBS) 2022 di dunia.

Syarikat lain termasuk Takeda, DHL, TESCO, Siemens, Qatar Airways, Kimberly-Clark, Celestica, Mars, Lexmark dan Woolworths Group, bertaraf multinasional dan antarabangsa.

TGBS turut mendapat sebutan penghormatan bagi ka­tegori Business Transformation Impact Award dan Change Ma­nagement Impact Award.

Tahun lalu, TGBS menerima pengiktirafan dalam tiga kategori di SSON Asia Impact Awards iaitu satu perak dan dua sebutan penghormatan (honorary mention). TGBS juga mendapat dua sebutan penghormatan lain dua tahun sebelum itu.

SSON Asia Impact Awards adalah anugerah industri tahunan peringkat global yang memberi penghormatan kepada perkhidmatan perniagaan dan pemimpin perniagaan yang memanfaatkan teknologi serta amalan terbaik dalam meningkatkan kecekapan operasi.

Menurut Ahmad Hushairi, kejayaan berterusan dalam penilaian SSON itu mengukuhkan lagi komitmen TNB terhadap agenda pembangunan mampan yang selari kepentingannya kepada Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Pengiktirafan itu juga merupakan satu langkah lagi untuk TGBS meningkatkan nilai menerusi penawaran perkhidmatannya kepada syarikat dan organisasi di luar TNB, selain meningkatkan kecekapan dalaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN