PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui syarikat tujuan khas milik penuhnya, TNB Bukit Selambau Solar Dua Sdn. Bhd. (TBSS2) telah memperoleh pembiayaan sehingga RM185 juta untuk projek Solar Berskala Besar Mentari (LSS4) atau Solar Berskala Besar (LSS) di Bukit Selambau, Kuala Muda, Kedah.
Menurut kenyataan, projek tersebut adalah di bawah program kerajaan Solar Berskala Besar@Mentari atau Solar Berskala Besar 4 (LSS4).
Katanya, TBSS2 telah berjaya menyelesaikan Penutupan Kewangan pada 30 September 2022 seperti yang dijadualkan dan projek solar tersebut mempunyai kapasiti sebanyak 50MWac (75MWdc).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, LSS adalah langkah seterusnya ke arah mencapai laluan kemampanan dan sasaran Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan untuk syarikat.
“Projek LSS akan menyumbang kepada peralihan tenaga yang juga akan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan perniagaan TNB dan kemampanan jangka panjang, serta merangsang pemangkin ekonomi baharu untuk Malaysia.
“TNB menyasarkan untuk mengembangkan portfolio Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) keseluruhan kepada 7,000MW menjelang 2030 tidak termasuk hidro besar, selaras dengan aspirasi TNB untuk mencapai Sifar Bersih dan Bebas Arang menjelang 2050,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, TBSS2 dijangka mencapai operasi komersialnya pada Disember 2023 dan ladang solar itu sedang dibangunkan di kawasan seluas 70.82 hektar, bersebelahan dengan LSS kedua TNB di Bukit Selambau.
“Dengan keadaan pasaran semasa yang mencabar, adalah satu pencapaian yang ketara apabila projek itu telah mencapai Penutupan Kewangannya, membolehkan pembiayaan untuk projek LSS.
“Kejayaan ini sebahagiannya disebabkan oleh sokongan Suruhanjaya Tenaga dalam meluluskan lanjutan empat tahun perjanjian pembelian tenaga (PPA) daripada 21 tahun kepada 25 tahun,” ujarnya.
CIMB Islamic Bank Berhad akan menyediakan pembiayaan hutang untuk projek itu sehingga RM185 juta. – UTUSAN