TNB bantu Majlis Daerah Rompin beralih kepada tenaga boleh baharu - Utusan Malaysia

TNB bantu Majlis Daerah Rompin beralih kepada tenaga boleh baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX), menyediakan solusi tenaga pintar kepada Majlis Daerah Rompin (MDR) melalui sumber solar, sekali gus menyumbang kepada peralihan tenaga negara. 

Menurut TNB, kedua-dua pihak memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) bagi membolehkan GSPARX memasang sistem solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 88.32 kilowatt puncak (kWP) di atas bumbung bangunan pentadbiran MDR tanpa kos. 

Apabila pemasangan panel solar tersebut siap pada Mac 2023, MDR dijangka dapat menikmati penjimatan bil elektrik hampir RM631,000 dalam tempoh 20 tahun kontrak perjanjian dan menikmati penjimatan sebanyak RM1.03 juta dalam tempoh 25 tahun. 

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, kerjasama itu selaras dengan komitmen TNB dalam menyokong agenda kerajaan untuk mencapai pengurangan intensiti pelepasan karbon dengan sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050. 

Ujarnya, komitmen itu dipacu oleh langkah-langkah mengurangkan sehingga 35 peratus intensiti pelepasan karbon dan pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan tenaga arang batu menjelang 2035, selain memperkasakan penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB). 

”Menerusi projek kerjasama bersama GSPARX, TNB melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar, selaras dengan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga di samping menjadi sebahagian daripada penyelesaian perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pemasangan panel solar itu mampu mengurangkan kadar tahunan sebanyak 83.9 tan metrik karbon dioksida bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 1,387 batang pokok dalam tempoh 10 tahun. 

Sementara itu, Yang Dipertua MDR, Datuk Ahmad Nasim Mohd. Sidek berkata, perjanjian itu menyumbang kepada pembangunan dan pengiktirafan MDR sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan yang mampan serta menjadikan Rompin sebagai bandar berdaya huni tahap tertinggi pada tahun-tahun mendatang di bawah Program Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM). 

”Kami amat mengalu-alukan program persefahaman sebegini khususnya menyokong kepada langkah penjimatan kos pengurusan selain menjadi perintis kepada penerokaan sumber boleh diperbaharui oleh pihak MDR. 

”Ini memberi kelebihan kepada pihak majlis dari segi tiada keperluan bayaran pendahuluan, penjimatan bayaran bil elektrik bulanan atau tahunan, pakej perkhidmatan melibatkan pemantauan dan penyelenggaraan berjadual oleh pihak GSPARX serta sistem akan dimiliki oleh pihak Majlis selepas tempoh kontrak berakhir,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya