[Tinjauan Fiskal 2023] Tingkat daya saing, daya tahan negara

[Tinjauan Fiskal 2023] Tingkat daya saing, daya tahan negara – Tengku Zafrul 

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN mengutamakan pemulihan pada 2022 dan membina momentum pembaharuan pada 2023 bagi meningkatkan daya saing dan daya tahan negara.

Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan terus menyediakan dasar yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat di samping melaksanakan pembaharuan dalam memastikan kemampanan fiskal jangka masa panjang.

Ujarnya, tindak balas dasar kerajaan yang proaktif dalam menyediakan program penstabilan pekerjaan seperti subsidi upah, insentif pengambilan pekerja dan inisiatif pembangunan kemahiran juga telah menambah baik pasaran buruh.

“Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2023 kekal memberangsangkan meskipun berdepan cabaran global yang ketara seperti inflasi, ketidaktentuan ekonomi serta perubahan iklim.

“Justeru kerajaan akan terus mengukuhkan sokongan fiskal dan meneruskan pendirian fiskal yang mengembang untuk merangsang aktiviti ekonomi bagi mengekalkan momentum pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjur antara empat hingga lima peratus pada 2023,” katanya dalam Prakata Tinjauan Fiskal Bajet 2023.

Tambahya, dasar fiskal Malaysia yang responsif dan bertanggungjawab telah membolehkan kerajaan menerajui pembangunan ekonomi negara secara konsisten dan mengatasi cabaran Covid-19.

“Bajet 2023 dirangka untuk menyediakan persekitaran yang kondusif dan memastikan keseimbangan antara keperluan ekonomi dengan konsolidasi fiskal bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, memupuk agenda kemampanan dan meningkat kesejahteraan rakyat.

“Objektif tersebut akan dapat dicapai dengan memastikan keseimbangan antara perbelanjaan berhemat di samping mencorak masa hadapan melalui rangka kerja fiskal yang pragmatik,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kerajaan komited untuk mengekalkan hutang statutori Kerajaan Persekutuan di bawah had statutori 65 peratus kepada KDNK.

“Kerajaan juga akan melaksanakan strategi pengurusan hutang yang bertujuan untuk memastikan ruang fiskal mencukupi bagi mengurangkan impak kejutan ekonomi atau situasi luar jangka.

“Walaupun berdepan cabaran global, kerajaan bertekad untuk memperkukuhkan kedudukan fiskal secara responsif, bertanggungjawab dan bersifat pembaharuan dalam melaksanakan dasar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN