OBLIGASI kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang belum selesai sehingga akhir Jun 2022 dianggarkan bernilai RM31.6 bilion, meliputi prinsipal berjumlah RM25.9 bilion dan faedah atau keuntungan sebanyak RM5.7 bilion.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal 2023, inisiatif kerajaan bagi mendapatkan semula aset 1MDB melibatkan langkah penyiasatan bersepadu yang terperinci, rundingan dan proses perundangan.
“Hasilnya, kerajaan telah mula menerima kembali aset 1MDB pada 2019 dan sehingga akhir Jun 2022 sebanyak RM19.3 bilion telah berjaya diperoleh.
“Aset yang berjaya diperoleh semula termasuk aset fizikal dan wang sitaan serta bayaran penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat; terimaan penyelesaian daripada institusi kewangan dan firma pengauditan; serta perolehan kembali aset tunai yang dibekukan daripada individu dan syarikat,” katanya.
Tambahnya, selain itu, bekas pengatur terbitan bon 1MDB, Goldman Sachs telah bersetuju dengan penyelesaian berjumlah AS$2.5 bilion dan memberi jaminan untuk membantu kerajaan mendapatkan semula aset dianggarkan bernilai AS$1.4 bilion.
Jelasnya, aset yang diterima semula itu telah dimasukkan dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset dan digunakan untuk membayar obligasi kewangan dan hutang 1MDB.
“Baki Akaun Amanah berjumlah RM8.8 bilion pada akhir Jun 2022 akan digunakan untuk menyelesaikan bon 1MDB Energy (Langat) Ltd. pada Oktober 2022,” katanya.
Menurut laporan itu lagi, pada 2009, 1MDB ditubuhkan sebagai dana pelaburan berdaulat dengan objektif untuk melaksanakan inisiatif pelaburan strategik dan memacu agenda pembangunan negara.
Walau bagaimanapun katanya, model perniagaan syarikat yang tidak efektif berikutan kebergantungan tinggi kepada instrumen hutang serta salah urus guna dana telah mengakibatkan masalah kewangan yang memerlukan bantuan kerajaan.
“Jumlah hutang 1MDB pada akhir Jun 2022 telah berkurang kepada RM25.9 bilion setelah mengambil kira pembayaran obligasi 1MDB Energy Ltd. pada Mei 2022,” jelasnya.
Dalam pada itu, pada akhir Jun 2022, jumlah jaminan kerajaan (GG) terkumpul menyederhana kepada RM307 bilion atau 17.9 peratus daripada KDNK berbanding RM310.4 bilion atau 20.1 peratus daripada KDNK pada akhir 2021.
Berdasarkan segmen, penerima GG tertinggi adalah segmen infrastruktur (56 peratus), diikuti perkhidmatan (26.7 peratus), pegangan pelaburan (7.6 peratus), utiliti (5.4 peratus) dan lain-lain (4.3 peratus) dengan 10 penerima utama GG mewakili lebih 85 peratus daripada jumlah jaminan.
INFO:
PENERIMA UTAMA GG (2021-2023)
1. Danaharta Nasional Berhad
2. Prasarana Malaysia Berhad
3. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
4. Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam
5. Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.
6. Projek Lebuhraya Usahasama Berhad
7. Khazanah Nasional Berhad
8. Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)
9. Suria Strategik Energy Resources Sdn. Bhd.
10. Pengurusan Air SPV Berhad
JUMLAH: RM266.125 bilion – UTUSAN