HUTANG isi rumah mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM1.409 trilion pada Jun 2022, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023.
Menurut laporan itu, pertumbuhan pada separuh pertama 2022 tersebut terutamanya didorong oleh pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan oleh pihak awam dan swasta serta pengecualian Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) ke atas pembelian kenderaan.
Walau bagaimanapun, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkurang kepada 84.5 peratus pada tempoh terbabit berbanding 89.1 pada Jun 2021, berikutan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.
“Sebahagian besar agregat hutang isi rumah bertujuan untuk pembelian aset tetap dan pengumpulan kekayaan seperti harta tanah kediaman sebanyak 59.4 peratus, harta tanah bukan kediaman (5.7 peratus) dan pelaburan dalam sekuriti (5.3 peratus).
“Secara keseluruhan, daya tahan kewangan isi rumah terus disokong oleh keupayaan pembayaran hutang yang kukuh dan penampan kewangan yang mencukupi,” ujarnya.
Sementara itu, nisbah khidmat hutang (DSR) bagi pinjaman terkumpul kekal berhemat disokong oleh piawaian pengunderaitan hutang yang wajar.
Jelasnya, agregat aset kewangan isi rumah berjumlah RM2.901 trilion terus mengatasi hutang isi rumah sebanyak 2.1 kali ganda dan mewujudkan penampan kewangan yang signifikan untuk isi rumah menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar.
“Kapasiti pembayaran hutang isi rumah yang kukuh dijangka berterusan berikutan pemulihan pasaran buruh, peningkatan pendapatan dan pengukuhan prestasi ekonomi pada 2022,” ujarnya. – UTUSAN










