Syarikat logistik harap pengecualian cukai dalam Bajet 2023 - Utusan Malaysia

Syarikat logistik harap pengecualian cukai dalam Bajet 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan logistik dan penghantaran negara berharap kerajaan mengambil kira pengurangan cukai dalam Bajet 2023.

Syarikat penyedia perkhidmatan logistik serba lengkap, Tiong Nam Logistics Holdings Bhd. dalam kenyataan berkata, pihaknya berharap kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan korporat bagi meningkatkan daya saing serantau.

Pihaknya turut berharap kadar cukai korporat yang dikenakan sebanyak 24 peratus buat masa ini akan dapat dikurangkan bagi meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

“Pada masa ini, rakan serantau kami seperti Singapura, Thailand dan Indonesia mempunyai kadar cukai korporat yang lebih menarik antara 17 hingga 22 peratus.

“Pengurangan cukai pendapatan korporat akan membolehkan perniagaan mengekalkan lebih banyak keuntungan untuk pelaburan semula ke dalam operasi dan inovasi, manakala peningkatan pelaburan asing pula akan memberi manfaat kepada ekonomi serta Tiong Nam dan industri logistik dalam masa sama,” katanya.

Selain itu, Tiong Nam turut berharap agar tempoh memproses bayaran balik cukai ditambah baik serta dipercepatkan untuk aliran tunai dan peruntukan modal yang lebih baik.

“Satu garis panduan yang lebih jelas mengenai kaedah terpakai bagi barangan dan perkhidmatan bercukai khususnya dalam sektor logistik dan penghantaran perlu dibuat dengan tujuan mengelakkan isu berpotensi melibatkan lebihan atau kekurangan dibawah peruntukan cukai.

“Kami juga menggesa lebih banyak insentif cukai dalam mengembangkan perniagaan dan pelaburan yang akan membantu merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi serta kemajuan teknologi termasuk insentif tambahan pelaburan aset mampan dan hijau,” ujarnya.

Sementara itu, syarikat perkhidmatan penghantaran ekspres GDEX Bhd. juga turut berharap kerajaan mengumumkan pengecualian cukai ke atas syarikat logistik bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Sekiranya pengecualian cukai diberikan, ia bakal meringankan beban syarikat logistik seterusnya membolehkan mereka mengukuhkan operasi dan melabur dalam peningkatan kapasiti, teknologi baharu dan kecekapan yang lebih baik

“Selain itu, perbadanan atau dana tempatan yang melabur ke dalam syarikat logistik juga boleh menikmati pelepasan cukai seperti ini di mana hasilnya digunakan untuk elaun modal dan automasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya