KUALA LUMPUR: Sektor swasta dan usahawan perlu memberi lebih keutamaan dengan meningkatkan perbelanjaan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sekurang-kurangnya 70 peratus perbelanjaan bagi R&D perlu datang daripada sektor swasta.
Jelasnya, perkara berkenaan dapat dilaksanakan sektor swasta dengan membantu menyediakan pembiayaan modal teroka dan antarabangsa serta dana endowmen dalam R&D.
“Ia amat penting dalam usaha memenuhi sasaran perbelanjaan kasar pembiayaan penyelidikan dan pembangunan (GERD) yang disasarkan sebanyak 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.
“Penerimagunaan teknologi dan inovasi sesungguhnya menjadi pemangkin asas bagi pertumbuhan ekonomi negara, jadi tumpuan khusus perlu diberikan kepada R&D untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam video ucapan perasmian sempena Seminar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) di Universiiti USCI, di sini, hari ini.
Mustapa turut menekankan usahasama antara penyelidik dan usahawan serta sektor korporat perlu diperbanyakkan lagi dalam membantu memenuhi sasaran kerajaan.
Jelasnya, data sebelum ini menunjukkan daripada 5,435 syarikat pemula pada 2010 hingga 2020 hanya lima peratus terlibat dalam bidang teknologi.
“Selain itu landskap penyelidikan Malaysia juga berbeza daripada negara maju di mana hampir 80 peratus daripada R&D Malaysia diterajui oleh institusi pengajian tinggi.
“Oleh itu, dalam jangka pendek dan jangka sederhana kerjasama yang lebih erat dalam kalangan para penyelidik dan usahawan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan inovasi tempatan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UCSI, Profesor Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, R&D merupakan pemangkin yang mampu mengangkat Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi.
“Universiti Malaysia seperti UCSI mempunyai pemimpin yang bersedia untuk menjalankan inisiatif R&D bersama dengan industri.
“Dengan usaha pelbagai disiplin, kami boleh membawa kemajuan besar dalam inovasi, pembangunan produk dan reka bentuk berorientasikan pengguna,” katanya. – UTUSAN









