PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan dengan segera bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk dan seterusnya memberi laluan kepada kelulusan Bajet 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, PRU15 perlu dilaksanakan sebelum Disember tahun ini.
Jelasnya, ia bukan sahaja untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya banjir besar tetapi juga memastikan perancangan pemulihan ekonomi negara dapat diteruskan.
Katanya, pembubaran Parlimen merupakan langkah terbaik buat masa ini ekoran ketidakstabilan politik mempengaruhi ekonomi negara.
“Ekonomi kita sebenarnya belum pulih 100 peratus dan dalam proses pemulihan, tetapi oleh kerana faktor-faktor tertentu, terutamanya dari segi kestabilan politik masih tidak stabil, saya rasa pembubaran parlimen perlu untuk mengambil pendekatan yang cepat dan drastik.
“Kalau boleh PRU-15 perlu diadakan sebelum Disember dan ia untuk memastikan perancangan pemulihan ekonomi dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kesan kepada pelabur tempatan dan asing ekoran pembubaran parlimen, Abu Sofian mengulas, golongan berkenaan sedang menanti keputusan PRU15 sebelum membuat sebarang pelaburan di negara ini.
Katanya, secara dasar pelabur-pelabur asing sentiasa berminat untuk melabur di Malaysia memandangkan persekitarannya yang memudahkan mereka.
“Bakal-bakal pelabur ini sedang menunggu keputusan PRU15 kerana mereka mahu melihat kestabilan politik serta menanti polisi dan dasar baharu yang akan diumumkan kerajaan yang memenangi PRU.
“Mereka juga mahu lihat siapakah yang akan memimpin negara selepas PRU dan apakah dasar-dasar yang akan diumumkan untuk pelabur, adakah dasar sedia ada berubah atau tidak,” katanya.
Sementara itu, MIDF Research dalam satu kenyataan berkata, pembentukan kerajaan baharu penting dalam memulihkan keyakinan dan kestabilan politik tempatan di samping memastikan kesinambungan dasar ekonomi jangka masa panjang.
Ulasnya, PRU15 perlu diadakan segera bagi membolehkan kerajaan dibentuk dan seterusnya meluluskan Bajet 2023.
“Berdasarkan pengumuman pembubaran parlimen semalam oleh perdana menteri, pihak kami menjangkakan PRU15 bakal diadakan seawal November ini.
“Sekiranya Bajet 2023 tidak diluluskan sehingga awal tahun hadapan ia boleh mempengaruhi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 2022 (1QCY22).
“Ini kerana perbelanjaan sektor awam mungkin terjejas ekoran kelulusan bajet yang tertangguh,” katanya. – UTUSAN










