RM72 bilion pelaburan dalam LuMIC

RM72 bilion pelaburan dalam LuMIC

SAARANI Mohamad (belakang, kanan) menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian antara KPNP dan PoABI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) telah memeterai perjanjian dengan Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) untuk penubuhan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Ia akan memberi penumpuan kepada industri dalam sektor maritim dan logistik, serta industri yang terlibat secara langsung dalam laluan perdagangan antarabangsa.

Berdasarkan perancangan PKNP, dianggarkan sebanyak kira-kira RM72 bilion akan dilaburkan dalam LuMIC untuk tempoh 25 tahun akan datang.

PoABI merupakan anak syarikat Port of Antwerp-Bruges iaitu sebuah gerbang perindustrian dan logistik terkemuka di Eropah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, menerusi LuMIC, pihaknya merancang untuk mewujudkan sebuah hab global baharu di Selat Melaka.

“Itu akan mengukuhkan lagi prospek Taman Perindustrian Pelabuhan Lumut, yang sudah menempatkan 91 syarikat dan menciptakan 15,000 ribu peluang pekerjaan setakat ini serta menjana perolehan tahunan sebanyak RM2.2 bilion.

“Lumut sememangnya berada di ambang perubahan dan kita telah membuat persediaan, yang untuk langkah-langkah pembangunan ekonomi selanjutnya.

“Oleh itu, kerjasama seperti ini dengan pemain industri maritim, perindustrian dan logistik terkemuka Eropah ternyata tepat pada masanya untuk menjadikan LuMIC sebagai sebuah pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu yang diperkasakan oleh aktiviti maritim dan institut pengajian tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Eksekutif PKNP, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, sebagai perbadanan pembangunan ekonomi negeri, usaha itu merupakan sebahagian daripada rancangan strategik pihaknya untuk menjadikan Lumut sebagai sebuah bandar yang moden dan lestari.

Jelasnya, LuMIC bakal menjadi tonggak pertumbuhan Perak dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), yang dipacu oleh penyertaan sektor swasta menerusi pelaburan langsung asing dan tempatan, insentif zon ekonomi khas dan kerjasama rapat antara industri dan akademia.

“Memanfaatkan sumber mineral yang besar di Perak dan aktiviti ekonomi semasa di Lumut, pelbagai kemudahan berkaitan maritim akan dibangunkan lagi di LuMIC mengikut keperluan pelabur atau vendor yang berminat, seperti kompleks perindustrian, kemudahan gudang dan terminal maritim.

“Antara cadangan bagi LuMIC untuk masa yang terdekat adalah penubuhan kemudahan terminal serba guna untuk memenuhi keperluan industri-industri di hab ini dan seluruh Perak, di samping menjadi pintu masuk ke rantau Asia.

“Di samping itu, setiap peringkat pembangunan LuMIC juga dijangka akan membawa kesan yang positif terhadap ekonomi kawasan dan komuniti sekelilingnya, di samping membuka lebih daripada 51,000 peluang pekerjaan bagi kategori pekerja mahir serta pekerjaan yang bernilai tinggi dan mengukuhkan sektor lain seperti hartanah, infrastruktur dan pelancongan.

“Itu seterusnya akan menyokong pembangunan sosioekonomi negeri Perak.

“Bagi mencapai cita-cita itu, PKNP akan berganding bahu dengan Port of Antwerp-Bruges, iaitu pelabuhan perindustrian kedua terbesar di Eropah, dimana jumlah fret yang dimuat dan dipunggah di Antwerp telah berganda dalam tempoh 20 tahun lepas kepada 231 juta tan mencerminkan keupayaannya.

“Berbekalkan kepakaran Port of Antwerp-Bruges, kami yakin bahawa LuMIC bakal menjadi salah satu pemacu ekonomi Perak dan Malaysia secara amnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN