KERAJAAN terus memberikan sokongan kukuh untuk pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion atau 20.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah Bajet 2023.
Daripada jumlah itu, sejumlah RM272.3 bilion atau 73.1 peratus disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala RM95 bilion atau 25.5 peratus untuk perbelanjaan pembangunan (DE).
Baki RM5 bilion adalah untuk pembayaran tertunggak bagi komitmen Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) yang dibuat pada 2022 sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8(1), Akta 8302.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, dari segi peruntukan mengikut sektor, sebanyak 37.2 peratus diperuntukkan untuk program dan projek di bawah sektor sosial diikuti oleh sektor ekonomi (19.5 peratus), keselamatan (9.9 peratus) dan pentadbiran am (5.5 peratus).
Ujarnya, baki belanjawan sebanyak 27.9 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan dan bayaran pindahan.
“Tiga penerima utama Bajet 2023 ialah Kementerian Kewangan (RM72.2 bilion), Kementerian Pendidikan (RM55.6 bilion) dan Kementerian Kesihatan (RM36.1 bilion) yang merangkumi 44 peratus daripada jumlah perbelanjaan.
“Peruntukan OE dianggarkan sebanyak RM272.3 bilion atau 15 peratus daripada KDNK pada 2023. Jumlah tersebut berkurang 4.3 peratus berikutan peruntukan lebih rendah untuk subsidi dan bantuan sosial disebabkan oleh jangkaan penurunan harga komoditi serta pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar secara beransur-ansur.
“Bagaimanapun, peruntukan lebih tinggi disediakan untuk emolumen, bayaran persaraan, DSC dan pemberian kepada badan berkanun. Emolumen penjawat awam kekal sebagai komponen terbesar merangkumi 33.3 peratus daripada OE,” katanya.
Laporan turut menyatakan, subsidi dan bantuan sosial dijangka mencecah RM42 bilion terutamanya bagi subsidi bahan api dan pertanian; bantuan tunai dan kebajikan; pampasan tol; serta bantuan berkaitan pendidikan.
“Subsidi bahan api dianggar berkurangan dengan jangkaan harga minvak mentah global lebih rendah pada 2023 dengan purata AS$90 setong serta sejajar usaha peralihan ke arah subsidi bersasar secara beransur-ansur bagi memastikan kecekapan ekonomi dan pengagihan sumber yang lebih saksama.
“Sementara itu, kerajaan akan terus menyediakan bantuan Keluarga Malaysia bagi meringankan beban kewangan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Peruntukan pemberian kepada badan berkanun dijangka meningkat 12.1 peratus kepada RM15.1 bilion.
Sebahagian besar peruntukan adalah untuk perbelanjaan operasi bagi 20 universiti awam dan sembilan hospital pengajar yang merangkumi 60.2 peratus daripada pemberian tersebut.
Kerajaan Persekutuan juga menyediakan pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri berjumlah RM8.1 bilion dengan RM6.1 bilion merupakan pemberian yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










