PETALING JAYA: Prestasi mata wang ringgit dan Bursa Malaysia dijangka kekal lemah pada minggu ini berikutan sentimen pasaran yang negatif.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana pelabur menjangkakan bahawa ekonomi global akan berterusan perlahan, sekali gus menyebabkan ringgit kekal lemah termasuk prestasi Bursa Malaysia.
“Prestasi ringgit dijangka kekal melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana berlakunya kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) akan menaikkan lagi kadar faedah untuk menangani kadar inflasi yang kekal tinggi sekitar 8.2 peratus di AS,” katanya.
Mengulas kesan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada pasaran, Ahmed Razman berkata, kebiasaannya pelabur akan mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.
Selepas itu katanya, baru akan berlaku pergerakan yang aktif di Bursa Malaysia.
“Namun, saya melihat PRU15 tidak akan memberi banyak kesan kepada ringgit kecuali jika kerajaan baharu memperkenalkan polisi atau dasar yang boleh memberi kesan kepada ringgit seperti menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dengan lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelabur akan memerhatikan perjalanan PRU15 dengan penuh minat kerana kini pelabur luar dan dalam negara hanya menunggu pembentukan kerajaan baharu.
“Tambahan lagi, penghujung tahun hampir tiba untuk memperkemas kedudukan portfolio pelaburan masing-masing. Jadi, saya menjangkakan tidak banyak aktiviti akan berlaku dalam pasaran saham.
“Selain itu, kegusaran tentang kemelesetan ekonomi global pada 2023 turut mempengaruhi para pelabur di mana mereka akan merasa lebih selamat memegang pelaburan pulangan tetap seperti bon daripada ekuiti yang dijangka tidak menentu kerana ekonomi global yang dijangka meleset pada tahun depan,” katanya.
Pada Jumaat lalu, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi pada 1,446.42 daripada 1,437.72 pada akhir sesi Khamis lalu.
Bagi ringgit pula, ia terus merosot berbanding dolar AS kepada 4.7350/7380 daripada 4.7260/7290 pada Khamis.- UTUSAN










