PETALING JAYA: Projek pembangunan hidrokuasa kecil di Sungai La, Besut, Terengganu bakal memacu pembangunan lestari di negeri itu, khususnya kawasan luar bandar.
Projek dilaksanakan oleh Domainedge Sdn. Bhd., syarikat tujuan khas di bawah usahasama antara anak syarikat milik kerajaan negeri, MBI Modal Sdn. Bhd., HeiTech Padu Berhad dan Inter Global Hydro Sdn. Bhd.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek berkapasiti 2.85 megawatt tenaga tersebut dilihat sebagai penyelesaian Tenaga Boleh Baharu (TBB) yang kritikal dalam menjadi solusi cabaran bekalan elektrik terutamanya di kawasan luar bandar yang terpencil.
“Projek mesra rakyat ini memanfaatkan hasil bumi Terengganu untuk masyarakat menerusi penjanaan kuasa berterusan serta penyediaan peluang pekerjaan untuk anak tempatan,” katanya pada Majlis Kick-Off projek berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Ngah Umar Abdul Halim; Penasihat Korporat Kepada Menteri Besar merangkap Pengarah Urusan MBI Modal, Mazli Zakuan Mohd. Noor dan Pengerusi Domainedge, Datuk Mohd. Fadzli Yusof.
Bagi MBI Modal, projek itu merupakan langkah strategik syarikat dalam industri Tenaga Boleh Baharu, pada masa yang masa menyambut baik Dasar Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan yang menyasarkan 31 peratus kapasiti tenaga boleh baharu (Renewable Energy – RE) menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.
Sementara itu, Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu, Datuk Seri Mohd. Hilmey Mohd. Taib berkata, pihaknya berbesar hati atas peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk sama-sama menyumbang kepada agenda pembangunan sosio ekonomi negeri secara mampan dan lestari demi kemajuan rakyat Terengganu amnya.
Beliau berkata, projek itu akan meletakkan HeiTech Padu di landasan yang betul dalam mencapai hasratnya menjadi ‘Mini Independent Power Provider’, atau IPP kepada pembekal tenaga di negara ini.
“Ia akan dilaksanakan dengan kapasiti 2.85 megawatt dan dijangka mampu menampung keperluan tenaga kepada penduduk setempat. Kami menyasarkan untuk menyelesaikan projek ini sebelum suku ketiga 2024, iaitu kira-kira dalam tempoh 24 bulan.
“Dari segi pengembangan perniagaan, projek itu merupakan antara usaha HeiTech untuk mempelbagaikan cabang perniagaan termasuk meneroka peluang perniagaan baharu seperti sektor tenaga boleh baharu selaras agenda transformasi syarikat sebagai pembekal teknologi menyeluruh kepada sektor awam dan komersil di dalam dan peringkat global,” katanya. – UTUSAN









