Prestasi Marrybrown dijangka kukuh tahun depan - Utusan Malaysia

Prestasi Marrybrown dijangka kukuh tahun depan

Marrybrown Masjid Tanah merupakan cawangan ketujuh yang dibuka di Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pengendali rangkaian restoran makanan segera, Marrybrown Sdn. Bhd. (Marrybrown) optimis prestasi syarikat itu terus kukuh tahun hadapan, disebalik jangkaan berlaku kelembapan ekonomi dunia.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datin Nancy Liew berkata, sektor makanan dan minuman (F&B) tidak banyak menghadapi masalah seperti industri lain kerana ia merupakan keperluan asas yang mesti dipenuhi, walaupun ketika berdepan krisis ekonomi.

Jelas beliau, kejayaan sesebuah restoran itu bergantung kepada penawaran harga yang munasabah dan berpatutan kerana kehendak pelanggan adalah terhadap sesuatu yang berbaloi mengikut kuasa beli semasa.

“Situasi ini sama seperti ketika pandemik yang mana banyak perniagaan lain menghadapi masalah tetapi industri F&B terus berdaya tahan kerana pelanggan tetap mencari sesuatu untuk dimakan. Bezanya adalah di restoran mana dan julat harga yang boleh diterima.

“Saya tidak bimbang dengan perniagaan ini walaupun inflasi sudah berlaku dan kemelesetan yang semakin hampir. Bagaimanapun, kami tetap perlu bekerja keras untuk mengekalkan harga dan mencipta pelbagai tawaran baharu kepada pelanggan.

“Sentiasa beri apa yang pelanggan mahu seperti menu dan perkhidmatan yang terbaik. Jika ini boleh buat pelanggan gembira, saya yakin Marrybrown akan terus berada di landasan terbaik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Marrybrown Cawangan Masjid Tanah di sini.

Sementara itu, mengenai pembukaan cawangan baharu, Nancy memberitahu, Marrybrown akan membuka beberapa restoran dalam masa terdekat menjadikan keseluruhan cawangan yang dibuka pada tahun ini melebihi 40 buah.

Katanya, jumlah itu jauh mengatasi sasaran awal iaitu sebanyak 30 restoran setahun.

“Dua lagi restoran Marrybrown di Melaka akan dibuka pada November dan Disember di Alor Gajah dan Krubong. Pertambahan itu menjadikan keseluruhan cawangan Marrybrown di negeri ini berjumlah sembilan buah.

“Lokasi lain adalah di Johor Bahru, Johor, Kelantan dan Terengganu. Kebanyakan restoran baharu yang dibuka tertumpu di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Marrybrown merupakan jenama tempatan yang mengendalikan lebih 500 cawangan restoran di 16 buah negara seperti Singapura, Thailand, Brunei, India, China, Afrika, Asia Barat dan Sweden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya