Penurunan bukti jihad tangani inflasi berhasil

Penurunan bukti jihad tangani inflasi berhasil

SHAZIDA JAN MOHD. KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penurunan kadar inflasi pada September yang mencatatkan 4.5 peratus berbanding 4.7 peratus bulan sebelumnya, membuktikan usaha kerajaan melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi membuahkan hasil.

Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, hasil kawalan harga ke atas barangan harian kegunaan isi rumah yang dikawal menampakan penurunan kadar inflasi walaupun dalam kadar perlahan.

Menurutnya lagi, kesedaran rakyat dalam berbelanja dengan berhemah juga secara tidak langsung memberi kesan kepada pasaran dan permintaan di mana sebagai isi rumah mereka mula mengawal perbelanjaan.

“Ini memberi isyarat kepada peniaga bahawa pengguna sudah mula membuat pilihan dan mencari kepelbagaian dalam berbelanja dan secara tidak langsung turut membantu mengawal harga dari terus meningkat.

“Peniaga juga kini nampak lebih mesra rakyat dan memahami konsep keluarga Malaysia dan mula bersedia untuk menentukan harga yang sesuai dengan keadaan semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya lagi, hasil pengumuman kerajaan sebelum ini melalui bantuan-bantuan terkini diikuti kesedaran peniaga-peniaga untuk tidak terus menaikkan harga barangan juga mempengaruhi kepada penurunan kadar inflasi berkenaan.

“Walaupun Inflasi pada September menurun sedikit (4.5 peratus) sahaja, tetapi saya rasa dengan sedikit ini sebenarnya akan banyak membantu golongan B40 ke bawah,” katanya.

Bagaimanapun, Shazida Jan berkata, masih terlalu awal untuk mengatakan penurunan inflasi pada September menunjukan ekonomi negara sedang bertambah baik memandangkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi dunia 2023 bersifat sederhana.

“Kalau hendak kata ini menunjukkan ekonomi Malaysia bertambah baik ada kemungkinan, tetapi terlalu awal untuk kita kata ke arah pemulihan terutamanya dengan keadaan pembubaran Parlimen sekarang.

“Kita kena tunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai dan saya rasa ini adalah tempoh kritikal,” katanya.

MOHAMAD IDHAM MD. RAZAK

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, penurunan kadar inflasi September menunjukkan perkembangan positif ekonomi negara.

Ulas beliau, ia merupakan petanda awal ke arah pemulihan ekonomi, bagaimanapun perjalanan ke arah perkara tersebut masih jauh ekoran terdapat banyak aspek yang perlu dinilai.

“Antara aspek yang perlu dinilai dan dilihat adalah aspek pelaburan luar asing, pengukuhan nilai ringgit, kadar inflasi, aliran wang masuk ke dalam negara dan sebagainya.

“Namun kadar inflasi negara akan dapat dikawal sekiranya kerajaan baharu fokus terhadap langkah pemulihan ekonomi yang holistik dan pragmatik,” katanya.

Terdahulu, Mustapa dalam satu kenyataan media memaklumkan Malaysia merekodkan kadar inflasi lebih rendah pada 4.5 peratus September lalu berbanding 4.7 peratus bulan sebelumnya.

Katanya, kadar inflasi negara bagi tempoh sembilan bulan pertama ialah 3.3 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN