PETALING JAYA: Data terkini daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) menunjukkan bahawa penipu atau scammer masih berleluasa, terutamanya mereka yang menggunakan media sosial untuk menarik dan menipu pelabur dengan tawaran pakej pelaburan dan tuntutan jaminan pulangan tinggi yang tidak realistik dan tanpa risiko.
Menurut SC, ia berikutan penemuan kaji selidik yang menunjukkan rakyat Malaysia masih mempunyai tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah tentang pelaburan dan produk pasaran modal.
“Berdasarkan data yang dikumpul, SC telah menerima 1,800 aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
“Kesemua penipuan itu dipromosikan dalam talian melalui saluran komunikasi seperti Telegram dan WhatsApp serta platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya dalam kenyataan.
Serentak itu, SC akan mengadakan pameran pendidikan pelabur InvestSmart® Fest (ISF 2022) selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Oktober ini bagi meningkatkan tahap celik kewangan dan membantu orang ramai melindungi diri mereka daripada penipu pelaburan.
Mengulas perkembangan itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adeik Hussin berkata, SC memantau internet secara aktif untuk mengenal pasti aktiviti pasaran modal yang mencurigakan dan juga mengeluarkan amaran kepada pelabur melalui Senarai Makluman Pelabur SC, yang dikemas kini hampir setiap hari.
“Ciri Internet yang terbuka menyukarkan kita untuk melindungi pelabur. Oleh itu, tindakan terbaik yang boleh diambil oleh pelabur untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen adalah untuk melengkapkan diri dan meningkatkan pengetahuan kewangan mereka,” katanya.
Menurut SC, di bawah undang-undang sekuriti Malaysia, mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan atau mempromosikan aktiviti pasaran modal, walaupun yang diluluskan dalam bidang kuasa lain, mesti dilesenkan atau didaftarkan oleh SC.
“Oleh itu, pelabur meletakkan diri mereka dalam risiko apabila berurusan dengan pihak tidak berlesen atau tidak berdaftar kerana capaian kawal selia SC ke atas entiti haram ini adalah terhad,” jelasnya.
InvestSmart® Fest (ISF 2022) akan berlangsung di Dewan Pameran 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Ia menghimpunkan lebih 40 peserta pameran terdiri daripada Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bank pelaburan dan penyedia produk serta perkhidmatan pasaran modal lain.
“Pemain daripada industri fintech seperti Luno Malaysia dan Wahed Investment juga akan membuat penampilan. ISF 2022 akan menampilkan ceramah, perbincangan panel dan sesi diskusi oleh pakar kewangan dan pelaburan terkemuka untuk berkongsi pandangan mereka tentang pasaran modal Malaysia dan peluang pelaburan yang tersedia,” jelasnya lagi. – UTUSAN










