Pendapatan, dividen TH dijangka menurun - Utusan Malaysia

Pendapatan, dividen TH dijangka menurun

TABUNG Haji dijangka umum dividen 2023 lebih baik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan dan dividen Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka menurun tahun ini berikutan prestasi keuntungan enam bulan pertama yang telah merosot hampir 15 peratus kepada RM1.03 bilion. 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi enam bulan terakhir TH dijangka mencabar dengan ekonomi dunia yang semakin perlahan pada hujung tahun ini serta kemelesetan ekonomi yang dijangka akan berlaku pada tahun depan. 

“Harga minyak kelapa sawit yang menurun juga turut membimbangkan TH kerana ia mempunyai portfolio pelaburan dalam sektor perladangan yang agak besar. 

“Selain itu, prestasi Bursa Malaysia yang tidak berapa baik dan menurun dari tahun lepas juga memberi impak yang besar kepada TH. 

“Ini kerana TH turut melabur dan memegang saham beberapa syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Sekiranya syarikat-syarikat tersebut terkesan dengan situasi ekonomi semasa,  sudah tentu ia akan mencatatkan penurunan pendapatan dan hanya memberi sedikit dividen berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Namun begitu, jelasnya, portfolio TH dalam sektor hartanah sudah kembali pulih dan ia dijangka akan memberikan harapan pulangan yang lebih baik daripada sebelum ini terutamanya jika dibandingkan dengan 2020 dan 2021 apabila wabak Covid-19 melanda dunia. 

Jelasnya, peningkatan kadar keuntungan simpanan TH juga turut naik apabila kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan sehingga tiga kali berturut-turut tahun ini. 

“Itu akan memberikan pulangan dan peningkatan keuntungan yang terbaik kepada TH. 

“Sekiranya TH mempunyai portfolio simpanan bank yang paling besar antara semua portfolio pelaburannya, pasti TH akan mendapat keuntungan yang boleh digunakan untuk mengimbangkan kehilangan keuntungannya,” ujarnya. 

Bagi tempoh separuh pertama 2022, TH telah mencatatkan pendapatan berjumlah RM1.47 bilion dengan jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.

TH berkata, sepanjang tempoh enam bulan pertama, lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 8.6 juta orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya