Pendapatan, dividen KWSP dijangka rendah

Pendapatan, dividen KWSP dijangka rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menjangka pendapatan dan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan kekal rendah mengambil kira prestasi pasaran ekuiti negara yang tidak stabil dan situasi pasaran Bursa Malaysia serta peringkat global.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi KWSP untuk suku ketiga tidak akan menunjukkan sebarang peningkatan dan akan kekal rendah.

“Dividen KWSP juga dijangka akan berada di bawah 6.0 peratus.

“KWSP mempunyai peruntukan aset strategik di mana ia mempunyai pelaburan dalam bentuk ekuti, deposit tetap dan pasaran tunai.

“Jika dilihat, pasaran bon, hartanah dan deposit tetap pulangannya adalah stabil tetapi rendah. Pulangan yang tinggi biasanya ialah pasaran ekuiti yang membolehkan KWSP memberi dividen yang tinggi sekiranya pasaran itu memberangsangkan.

“Apabila prestasi pasaran ekuiti sekarang agak bercampur-campur, ia menjejaskan potensi untuk KWSP memberi dividen lebih tinggi untuk tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat dua perkara yang menjejaskan pelaburan KWSP iaitu ekonomi global masih dalam fasa pemulihan dan ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS).

Sebagai contoh, jelasnya, permintaan terhadap hartanah masih belum pulih sekali gus menyebabkan sentiment pelabur di pasaran ekuiti belum positif kerana ketidaktentuan di AS masih berterusan.

“Rata-rata banyak negara sudah mula menaikkan kadar faedah jadi itu akan menyumbang kepada ekonomi perlahan pada tahun depan. Jadi, sentiment pelabur kurang kerana ramai mengambil keputusan untuk tidak meningkatkan pelaburan itu.

“Selain itu, ketidakstabilan politik juga boleh menjejaskan pelaburan KWSP.

“KWSP mempunyai dua jenis pelaburan iaitu pelaburan jangka panjang dan pelaburan strategik.

“Pelaburan jangka panjang tidak akan begitu terkesan tetapi pelaburan strategik yang bergantung kepada kenaikan harga saham atau dividen akan mudah terkesan.

“Terutamanya selepas pilihan raya umum (PRU) sekiranya kerajaan yang menang tidak disokong majoriti ia akan menjejaskan keyakinan pelabur dan pasaran.

“Namun, sekiranya kerajaan yang menang adalah stabil makan kestabilan politik akan menyumbang kepada kestabilan pasaran dan ekonomi negara,” katanya lagi.

Pendapatan pelaburan kasar KWSP merosot kepada RM27 bilion pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata, ia susut sebanyak RM7.06 bilion atau 21 peratus berbanding RM34.06 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.

Katanya, kemerosotan itu disebabkan reaksi pasaran terhadap peningkatan risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan dan inflasi tinggi yang tidak dialami oleh ekonomi utama sejak 1970-an. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN