
STESEN Janakuasa Battersea atau Battersea Power Station (BPS) yang dibina pada 1929 diiktiraf di seluruh dunia sebagai salah satu ikon kebudayaan dan seni bina yang berada tepat di tengah-tengah pusat kota London.
Sebelum operasinya dihentikan sepenuhnya pada 1983, ia telah menjadi saksi penting untuk pelbagai peristiwa-peristiwa menarik yang pernah berlaku dalam sejarah selain menjadi salah satu ikon budaya pop di United Kingdom (UK).
Di kemuncak tempoh perkhidmatannya sebagai sebuah pusat janakuasa batu arang yang membekalkan sumber kuasa elektrik, BPS membekalkan satu perlima sumber elektrik untuk seluruh kota London termasuklah mercu tanda London yang paling terkenal seperti Dewan Parlimen dan Istana Buckingham.
Pada 2012, BPS dibuka untuk pembida ari seluruh dunia dan turut mendapat perhatian dua pembida ternama antarabangsa iaitu konsortium yang diterajui pelabur hartanah veteran British, Godfrey Bradman dan jutawan hartanah Brothers Ruben; serta pemilik kelab bola sepak Inggeris, Chelsea FC yang juga jutawan Russia, Roman Abramovich.
Bagaimanapun, konglomerat Malaysia menjadi pembida pilihan bagi mengambil alih mercu tanda ikonik London di kawasan seluas hampir 17 hektar itu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah £9 bilion (RM46.41 bilion).
Terletak di selatan Sungai Thames, BPS dibangunkan oleh konsortium Malaysia terdiri daripada Sime Darby Property Bhd. dan S P Setia Bhd., masing-masing memegang 40 peratus kepentingan, dengan baki 20 peratus dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Di bawah seliaan pemegang sahamnya iaitu Sime Darby Property dan S P Setia sejak 2012, mercu tanda ikonik tersenarai Gred II* itu telah dipulihkan kembali kepada puncak kegemilangannya dahulu, manakala ruang yang lebih luas telah berubah menjadi kawasan komuniti yang meriah dan rancak.
Selain itu, ruang runcit atau aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan KWSP.
Selepas hampir 10 tahun dibangunkan, akhirnya BPS dibuka kepada orang awam Jumaat lalu (14 Oktober 2022) dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia dua hari sebelum pembukaan rasminya.
Mengulas kejayaan konglomerat Malaysia mengubah mercu tanda ikonik itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelaburan negara itu diharap dapat membawa pulang dividen untuk menguatkan kembali ringgit dan ekonomi malaysia.
Ujarnya, dalam keadaan ekonomi global yang merosot, pelaburan luar negara tidak boleh gagal kerana kebergantungan masa depan kepada negara untuk membawa pulangan yang menguntungkan negara.
“Pelaburan ini sangat menguntungkan ekonomi UK kerana ia membawa pelaburan langsung asing (FDI) dan mencapai banyak peluang pekerjaan selain memakmurkan rantaian nilai bekalan negara tersebut.
“Ia turut membawa kebaikan kepada negara kita kerana ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam industri hartanah dengan pulangan jangka panjang yang amat baik,” katanya.
Beliau berkata, menerusi kejayaan itu juga diharapkan dapat membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memasarkan barangan mahupun perkhidmatan mereka melalui platform BPS.
“Seperti syarikat multinasional (MNC) negara-negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan China, apabila mereka melabur di luar negara, mereka akan membawa PMKS dalam rantaian bekalan nilai.
“Langkah ini dapat membantu ekonomi mereka berkembang di luar negara. Oleh itu, saya berharap perkara yang sama akan dilakukan oleh MNC bertanggungjawab agar dapat membantu menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Selepas perasmian BPS, Pengerusi Battersea Project Holding Company (BPHC), Datuk Jagan Sabapathy berkata, mercu tanda ikonik itu disasarkan menerima sehingga 26 juta pengunjung setahun.
“Membuka semula bangunan berprestij ini yang sangat bermakna kepada warga London dan dunia, menunjukkan apa yang boleh dicapai oleh rakyat Malaysia, bekerja secara kolaboratif dengan rakan kongsi dari seluruh dunia, untuk menyampaikan projek inspirasi.
“Pencapaian ini adalah sesuatu yang membanggakan dan saya harap ramai akan datang melawat,” katanya.
Jelas beliau, diunjurkan lebih £5 bilion (RM25.79 bilion) daripada keseluruhan GDV yang berjumlah £9 bilion (RM46.41 bilion) bagi projek pembangunan semula BPS dapat direalisasikan setakat ini.
“Jumlah itu susulan penyiapan kira-kira tiga setengah hingga empat fasa projek berkenaan. Boleh dikatakan ia sudah lebih separuh atau 60 peratus sudah siap dibangunkan. Masih ada 40 peratus yang dijangka lebih cepat disiapkan susulan hampir keseluruhan infrastruktur sudah siap dibina dan kebanyakan pula membabitkan pembinaan kediaman.
“Secara keseluruhannya, ia dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun akan datang atau pada 2033,” katanya.
Fasa pertama BPS membabitkan pembangunan Circus West Village, yang siap pada 2017 dan kini menjadi kediaman kepada 1,800 residen serta restoran dan kemudahan beriadah termasuk teater dan pawagam.
Fasa kedua pula meliputi pembangunan bercampur yang antara lain akan menempatkan Apple London Campus serta beratus-ratus kedai di ruang dewan turbin, lif kaca ke cerobong asapnya dan beratus-ratus kediaman baharu.
Sementara itu, fasa ketiga membabitkan Battersea Roof Gardens yang direka Foster + Partners serta Prospect Place oleh Gehry Partners yang berada bersebelahan Electric Boulevard. – UTUSAN










