Pelabur asing jual ekuiti RM479.7 juta

Pelabur asing jual ekuiti RM479.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti bagi enam minggu berturut-turut di Bursa Malaysia dengan penjualan ekuiti bernilai RM479.7 juta pada minggu lalu berbanding RM336.9 juta, minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, dalam minggu dagangan singkat itu, pelabur asing merupakan penjual bersih bagi setiap hari dagangan dengan aliran keluar paling ketara pada Khamis yang bernilai RM153.7 juta, manakala Selasa sebanyak RM140.3 juta.

Katanya, jumlah aliran keluar dana asing pada Rabu dan Jumaat pula masing-masing sebanyak RM86.4 juta dan RM99.3 juta.

“Sebaliknya, institusi tempatan menjadi pembeli bersih bagi setiap hari dagangan pada minggu lepas dengan nilai ekuiti masing-masing RM81.2 juta pada Selasa, berkurangan kepada RM44.2 juta pada Rabu dan seterusnya meningkat kepada RM131.5 juta pada Khamis serta susut sedikit pada RM111.5 juta pada Jumaat.

“Secara kumulatif, institusi tempatan membeli ekuiti bernilai RM368.4 juta pada minggu lepas,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan.

Firma penyelidikan itu memaklumkan, peruncit tempatan menjadi pembeli bersih pada minggu lepas dengan jumlah aliran masuk dana mingguan sebanyak RM111.3 juta iaitu belian bersih tertinggi pada Selasa sebanyak RM59.1 juta.

“Setakat ini, pelabur asing merupakan pembeli bersih ekuiti bagi 24 daripada 41 minggu dalam 2022 dengan jumlah aliran masuk dana sebanyak RM5.81 bilion.

“Selain itu, institusi tempatan menjadi penjual bersih selama 29 daripada 41 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8.11 bilion manakala peruncit tempatan adalah pembeli bersih untuk 27 daripada 41 minggu setakat tahun ini dengan pembelian bersih RM2.30 bilion,” ujarnya.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) bagi semua kelas pelabur iaitu masing-masing 0.34 peratus bagi pelabur runcit, 16.6 peratus bagi pelabur institusi serta pelabur asing 16.3 peratus.

Menurutnya, antara saham yang menyumbang kepada aliran masuk utama adalah Petronas Chemicals Group Bhd. yang mencatat jumlah aliran masuk bersih tertinggi minggu lepas pada RM7.7 juta, seterusnya Malayan Baking Bhd. (RM2.4 juta) dan Petronas Gas Bhd. (RM2.2 juta).

“Semenatar itu, Public Bank Bhd. pula antara kelompok saham mencatat penyusutan dengan aliran keluar terbesar sebanyak RM4.4 juta dan diikuti oleh Telekom Malaysia Bhd. (RM1.9 juta) dan Nestle (RM1.5 juta),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN