PCG lengkapkan pengambilalihan Perstorp

PCG lengkapkan pengambilalihan Perstorp

PERSTORP kini anak syarikat milik penuh PCG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mengumumkan telah melengkapkan pengambilalihan Perstorp Holding AB (Perstorp) pada 11 Oktober 2022.

Pada Mei tahun ini, PCG menandatangani Perjanjian Pembelian Sekuriti dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang merupakan sebuah firma ekuiti swasta Eropah untuk mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp, sebuah syarikat bahan kimia khusus global terkemuka di Sweden yang didorong oleh kelestarian.

Berikutan pengambilalihan ini, Perstorp kini merupakan anak syarikat milik penuh PCG.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, pihaknya berbesar hati dapat melengkapkan pengambilalihan itu yang merupakan sebahagian daripada strategi “step-out” kumpulan dengan penjanaan platform baharu untuk pertumbuhan PCG dalam industri kimia khusus.

“Ia juga melangkaui potensi pendapatan di mana Perstorp adalah penambahan strategik yang bersesuaian dengan nilai-nilai yang serupa dan tenaga kerja berbakat yang mempunyai kepakaran dalam industri.

“Kami bersedia untuk mara lebih jauh dalam agenda kelestarian kami. Inisiatif Finite Material Neutral Perstorp akan menjadi pemangkin kepada projek-projek PCG ke arah aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih kami menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp, Jan Secher berkata, hari ini menandakan permulaan baharu dan masa depan yang menarik untuk Perstorp sebagai sebahagian daripada keluarga PCG.

“Kami teruja untuk menerokai peluang yang boleh diwujudkan melalui usahasama dengan PCG.

“Ini akan mempercepatkan fasa perkembangan seterusnya dan mengukuhkan lagi kami sebagai syarikat bahan kimia khusus terkemuka,” ujarnya.

Melangkah ke hadapan selepas pengambilalihan, PCG berhasrat untuk terus mengekalkan dan memperkembangkan nilai Perstorp, memandangkan beberapa tahun yang mendatang akan menjadi detik penting bagi kedua-dua syarikat tersebut.

Antara rancangan pembangunan utama termasuk pengembangan Perstorp di persada dunia dengan mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asia Pasifik melalui pengetahuan industri PCG dan memanfaatkan pangkalan pelanggannya yang besar.

Selain itu, PCG juga akan berusaha untuk memastikan penyelesaian projek pengembangan Perstorp mengikut jadual yang dirancang secara selamat di samping menjimatkan kos.

Perstorp mempunyai beberapa projek yang telah diatur dalam masa terdekat, termasuk pelancaran Project Air yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon melalui pengeluaran metanol yang mampan.

Baru-baru ini, Dana Inovasi Kesatuan Eropah (The European Union Innovation Fund) memilih Project Air, sebagai salah satu daripada 17 projek teknologi hijau berskala besar, yang akan bersama-sama menerima EUR 1.8 bilion.

Project Air mendorong industri kimia untuk beralih daripada penggunaan bahan mentah fosil kepada bahan suapan yang berasaskan bio dan dikitar semula, justeru menggalakkan penggunaan produk kimia mampan kepada pelbagai industri dan produk akhir.

Pada kapasiti penuh, ia mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida secara global dengan hampir 500,000 tan setahun berbanding paras pada hari ini, bersamaan dengan satu peratus daripada pelepasan semasa di Sweden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN