Pasaran hartanah masih ada peluang baik - Utusan Malaysia

Pasaran hartanah masih ada peluang baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran hartanah masih mempunyai peluang yang sangat baik meskipun negara sedang berada di dalam fasa peralihan endemik.

Timbalan Pengarah Urusan WCT Holdings Berhad, Peter Chow Ying Choon berkata, pihaknya terus menerima pelbagai pertanyaan berkenaan projek kediaman yang dibangunkan syarikat tersebut.

“Pasaran hartanah di Malaysia masih aktif dan mempunyai peluang yang baik di mana kita boleh lihat melalui pertanyaan yang diterima berkenaan projek kediaman kami.

“Pertanyaan berkenaan pembangunan hartanah bukan sahaja melibatkan syarikat kami malah juga pemaju lain,” katanya pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Antara WCT Land Sdn. Bhd. dan DWG Malaysia Sdn. Bhd. bagi bangunan C The Maple Residence di sini, semalam.

Mengulas mengenai projek bangunan C The Maple Residence, Ying Choon berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada kediaman The Maple yang terletak di Taman OUG melibatkan pembinaan tiga bangunan kediaman.

Katanya, ketiga-tiga bangunan berkenaan mempunyai sebanyak 940 unit kondominium pegangan bebas yang direka bentuk secara estetik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM954 juta manakala GDV bagi pembinaan bangunan C The Maple berjumlah RM430 juta.

“Kerjasama dengan DWG Malaysia ini merupakan yang pertama buat WCT di mana mereka diberi hak eksklusif untuk menjual lebih 300 unit kondominium mewah bagi bangunan C The Maple kepada pembeli warga tempatan dan asing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DWG Malaysia, Justin Chew berkata, syarikatnya itu merupakan platform sehenti untuk hartanah global dan telah berada dalam industri sejak bertahun lamanya.

“Kami percaya untuk melabur dahulu sebelum pelanggan dengan mengambil risiko melabur dalam pembangunan yang mempunyai unjuran pertumbuhan jangka panjang.

“Oleh itu, DWG Malaysia menyasarkan sebanyak 70 peratus daripada lebih 300 unit kondominium mewah di bangunan C The Maple Residence akan dibeli pembeli tempatan manakala baki 30 peratus lagi disasarkan kepada pembeli dari Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China dengan harga jualan bermula RM1 juta hingga RM1.3 juta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya