LONDON: Harga minyak meningkat pada awal dagangan di Asia semalam selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu termasuk Russia (OPEC+) bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak kira-kira dua juta tong sehari.
Langkah OPEC dan sekutunya itu bagaimanapun dikritik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, lapor Reuters.
Pentadbiran beliau juga menyuarakan kebimbangan kemungkinan Russia akan menggunakan hasil daripada peningkatan harga minyak mentah untuk membiayai operasi ketenteraannya di Ukraine.
Susulan itu, Biden telah mengarahkan pentadbirannya mencari jalan untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah AS dalam usaha mengurangkan kawalan OPEC+ ke atas pasaran.
Awal tahun ini, pentadbiran Biden telah mengeluarkan stok simpanan sebanyak 180 juta tong untuk tempoh enam bulan bermula Mei lalu.
Langkah itu menyebabkan simpanan minyak mentah AS jatuh ke paras terendah sejak Julai 1984 kepada 416 juta tong.
Dalam sesi dagangan semalam, niaga hadapan minyak mentah Brent naik 46 sen atau 0.5 peratus kepada AS$93.83 setong manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat 45 sen atau 0.5 peratus pada AS$88.21 setong.
Dalam mesyuarat OPEC+ di Veinna kelmarin, Arab Saudi yang mengetuai kumpulan berkenaan, menolak permintaan White House apabila bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari, pengurangan terbesar sejak pandemik Covid-19.
Menteri Tenaga Arab Saudi, Abdulaziz Salman berkata, OPEC+ perlu proaktif kerana bank pusat di seluruh dunia sedang bergerak menangani inflasi yang melambung tinggi dengan kenaikan kadar faedah lebih tinggi.
Pengurangan tersebut dilaporkan menyamai 2.0 peratus daripada bekalan di seluruh dunia. Ia dikatakan sebagai tindak balas kepada kenaikan kadar faedah di Barat dan ekonomi global yang semakin lemah.
Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak berkata, Russia mungkin mengurangkan pengeluaran minyak dalam usaha mengimbangi kesan had harga yang dikenakan oleh Barat ke atas tindakan Moscow di Ukraine. – AGENSI










