PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpendapat, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) boleh mengukuhkan nilai ringgit yang ketika ini terus lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Semalam, ringgit dilaporkan melepasi paras semasa krisis kewangan Asia 1997/98 apabila ditutup pada 4.736/4.740 berbanding dolar.
Terdahulu, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS dipercayai kerana kekurangan pemangkin pasaran, diburukkan lagi oleh ketidaktentuan pasaran global.
Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan itu susut kepada 4.7345/7360 berbanding dolar AS berbanding penutup Khamis 4.7270/7290.
Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Bakti Hasan Basri berpendapat, kawalan ringgit dapat dilakukan apabila kadar faedah dinaikkan, namun perkara tersebut bukannya pilihan yang popular.
Katanya, kenaikan kadar faedah dapat menggalakkan orang ramai untuk menyimpan, termasuk dalam kalangan pelabur yang akan memilih untuk meletakkan wang mereka di negara ini berbanding di negara-negara lain di peringkat serantau.
“Tetapi pilihan ini tidak popular dan ramai yang bising apabila OPR dinaikkan. Ini kerana, kos pinjaman seperti rumah menjadi lebih mahal.
“Oleh itu, tidak ada ‘tongkat sakti’ yang boleh mengatakan apabila membuat sesuatu perkara tersebut maka ringgit akan mengukuh dengan lebih baik.
“Sebaliknya, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan perlu duduk berbincang dan mencari cara yang terbaik untuk berdepan dengan situasi ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual mengumumkan kadar semasa/baharu OPR pada 3 November ini.
Sementara itu, beliau berkata, sukar meramalkan pergerakan ringgit ketika ini, namun pembubaran Parlimen dan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat mengembalikan keyakinan pelabur.
“Ini kerana, mereka sudah mendapat kepastian bahawa memang negara akan melaksana PRU15 tidak lama lagi dan dapat meredakan ketidakpastian.
“Perkara ini dapat dilihat apabila dagangan di Bursa Malaysia kembali mengukuh berbanding sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, Bursa Malaysia terus kukuh menokok 8.70 mata kepada 1,446.42 ketika ditutup pada 5 petang semalam, berbanding 1,437.72 kelmarin.
Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 400 berbanding 388, manakala 382 kaunter tidak berubah dan 1,182 lagi tidak diniagakan. – UTUSAN










