PETALING JAYA: Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y) telah melancarkan inisiatif harga Stretch Your Ringgit, with MR D.I.Y. yang menampilkan pelbagai rangkaian produk label persendiriannya.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, pihaknya sedar tentang kesukaran yang dihadapi rakyat Malaysia sekarang.
“Harga barangan yang semakin meningkat, kadar inflasi yang tinggi, kekurangan pilihan, dan ada antara mereka yang kehilangan sumber pendapatan.
“Kesemua faktor itu memberi tekanan yang begitu besar kepada bajet isi rumah. Sebagai syarikat kelahiran tempatan yang mempunyai kehadiran jenama di seluruh negara, ia menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan rakyat Malaysia boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga mampu milik, di lokasi-lokasi yang mudah dikunjungi.
“‘tretch Your Ringgit with MR D.I.Y. adalah cara yang mudah dan bijak untuk rakyat Malaysia mendapatkan barangan keperluan harian mereka tanpa kompromi terhadap nilai dan kualiti.
“Kempen terbabit menampilkan pelbagai tawaran hebat untuk pelbagai rangkaian produk label persendirian kami, yang memberi jaminan kualiti yang baik dengan nilai yang lebih hebat untuk para pengguna.
“Ia sememangnya sebuah inisiatif daripada peruncit tempatan untuk membantu rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
MR D.I.Y., peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, menawarkan sebuah rangkaian yang terdiri daripada 18,000 produk Always Low Prices di lebih 1,000+ cawangan di seluruh negara.
Selain pelbagai jenama terkenal, MR D.I.Y, juga menawarkan rangkaian produk-produk label persendiriannya.
Bersempena kempen itu, peruncit tersebut menampilkan lebih daripada 30 produk-produk label persendiriannya dalam kategori keperluan rumah dan perhiasan, perkakasan, barangan elektrik dan aksesori kereta.
Inisiatif selama sebulan itu menampilkan pelbagai tawaran hebat di seluruh negara.
Produk-produk label persendiriannya dengan tawaran istimewa termasuklah mentol LED cahaya siang bentuk 3U pada harga RM9.90 setiap satu, bateri alkali AA pada harga RM10.90 untuk 12 biji, stoking saiz S pada harga RM5.90 untuk 3 pasang dan cerek elektrik (1.7L) pada harga RM49.00 setiap satu. – UTUSAN










