MHB raih kontrak kejuruteraan daripada SSB

MHB raih kontrak kejuruteraan daripada SSB

KONTRAK kejuruteraan yang diperoleh oleh MHB daripada Sarawak Shell Berhad. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd. (MMHE) memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) daripada Sarawak Shell Berhad (SSB).

Menurut makluman di Bursa Malaysia, kontrak tersebut membabitkan pembinaan pelantar luar pesisir bagi projek gas Rosmari-Marjoram, di luar pantai Sarawak bernilai kurang daripada RM500 juta.

Apabila pelantar itu siap yang dijangka mengambil masa selama 19 bulan, ia akan dipasang pada kedalaman 140 meter di sekitar kawasan SK318, di luar pantai Bintulu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Pandai Othman berkata, projek tersebut menandakan perkongsian kukuh dan berkekalan kumpulan dengan SSB dalam beberapa tahun akan datang.

“Ia menandakan permulaan pemulihan industri minyak dan gas di Malaysia yang telah lama terhalang akibat pandemik dan kelembapan ekonomi menyebabkan pemaju minyak dan gas lebih berhati-hati dalam pembelanjaan modal (capex) untuk pembangunan baharu.

“Selain daripada matlamat utama untuk menyiapkan projek ini dengan selamat dan tepat pada masanya, kami berbesar hati untuk menyatakan bahawa projek ini sejajar dengan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui untuk menggerakkan pelantar.

“Kami telah pun memulakan perjalanan kemampanan dengan menyepadukan amalan mampan ke dalam perniagaan dan membuat keputusan untuk memastikan kami beroperasi secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Pelantar tanpa pemandu itu akan dikuasakan terutamanya oleh tenaga boleh diperbaharui di mana ia akan menggunakan kuasa daripada panel solar.

Dengan hayat reka bentuk selama 20 tahun, ia akan menampung sehingga 800 juta kaki padu gas standard setiap hari dengan permulaan disasarkan pada 2026 membekalkan gas asli ke Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Projek gas Rosmari-Marjoram kini diusahakan olen SSB (Pengusaha Blok SK318) dan Petronas Carigali Sdn. Bhd.. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN