PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjalin kerjasama strategik dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) bagi pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan (National e-Invoicing Initiative).
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz menandatangani memoraum persefahaman kerjasama itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Ahmad Norhad Zahari.
Melalui MoU itu, MDEC dan HASiL akan bekerjasama dalam menyelaraskan pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan dengan model pematuhan cukai di seluruh negara.
Selain itu, kedua-dua pihak akan berkongsi status pelaksanaan dan rangka kerja berkenaan perancangan, strategi dan perkembangan berhubung pelaksanaan inisiatif tersebut.
Mahadhir, berkata inisiatif itu juga adalah salah satu Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) di bawah sektor Perdagangan Digital (Digital Trade), yang bertujuan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital negara dengan menyokong penyelarasan piawaian dan pendekatan kawal selia untuk memudahkan perdagangan tempatan dan merentasi sempadan.
“MDEC akan bekerjasama dengan HASiL dalam pelaksanaan Inisiatif e-Invois Kebangsaan dengan mengambil kira keperluan percukaian bagi pembangunan rangka kerja e-invoicing yang akan dilaksanakan di Malaysia serta membuat promosi berhubung kepentingan dan kelebihan e-invois kepada perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Kata beliau, inisiatif e-Invois Kebangsaan ini adalah sebahagian dari agenda pendigitalan yang lebih menyeluruh bagi dokumen-dokumen perniagaan, bermula dengan e-invois dan kemudiannya akan merangkumi dokumen-dokumen perniagaan lain seperti penghantaran, katalog dan pesanan.
“MDEC akan terus komited dalam mengenal pasti sektor berpotensi tinggi, selaras dengan inisiatif strategik nasional baharu, Malaysia Digital (MD) di mana sektor Perdagangan Digital akan terus dipacu melalui kesalingoperasian dan penyelarasan yang lebih baik dari segi standard dan pendekatan kawal selia serta memudahkan perdagangan tempatan merentasi sempadan,” tambahnya.
Sementara itu, Mohd. Nizom menyambut baik kerjasama itu kerana ia selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (RMK-12) yang menumpukan kepada agenda memperkukuhkan infrastruktur perkhidmatan digital dan seterusnya ke arah pendigitalan pentadbiran cukai.
Katanya, dalam konteks percukaian, kajian di peringkat antarabangsa menunjukkan bahawa pelaksanaan e-invoicing ini bukan sahaja mampu menambah baik kutipan cukai dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pentadbir cukai, malah ia turut memberikan banyak manfaat kepada pembayar cukai dari segi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan
rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai mereka.
“Pelaksanaan e-invoicing juga dapat mewujudkan transaksi perniagaan yang lebih telus sekali gus dapat membantu kerajaan mengatasi masalah ekonomi bayangan (shadow economy) dalam urus niaga. Sehubungan dengan itu, kerjasama MDEC dan HASiL ini amat penting dalam usaha semua pihak meningkatkan kemampanan sistem percukaian negara dan seterusnya dipercayai oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN










