Master Tec peroleh kontrak RM12 juta

Master Tec peroleh kontrak bekal kabel kuasa voltan rendah RM12 juta

KETUA Pegawai Eksekutif Master Tec, Kok Hwa (left) dan Nik Hishamuddin Mohamed bertukar dokumen kerjasama disaksikan oleh Lau Kim San; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka, Datuk Ramli Mohd. Ali dan Ketua Bahagian Pengurusan Subsidiari TNB, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abdul Hamid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Master Tec Wire & Cable Sdn. Bhd. (Master Tec) memperoleh kontrak membekalkan kabel kuasa voltan rendah kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bernilai sekitar RM12 juta berkuat kuasa Oktober 2022.

Satu Perjanjian Jangka Panjang Pembuatan Peralatan Asal (OEM) untuk membekalkan tiga jenis kabel selama setahun telah dimeterai oleh Master Tec dengan anak syarikat TNB iaitu Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. kelmarin.

Master Tec dalam kenyataan melaporkan, jumlah kabel voltan rendah yang bakal dibekalkan kepada TNB dalam tempoh berkenaan bergantung kepada permintaan daripada Tenaga Cable Industries.

Pemegang saham tunggal dan Pengarah Master Tec, Datuk Lau Kim San berkata,  perjanjian OEM jangka panjang itu membuktikan keyakinan TNB terhadap syarikat tersebut dalam membekalkan wayar dan kabel berkualiti tinggi untuk kegunaan industri berat.

Jelasnya, produk Master Tec dibangunkan di bawah piawaian antarabangsa yang paling ketat, termasuk pengiktirafan oleh TNB melalui Sijil Guna Pakai.

“Kami yakin kontrak terbaharu ini akan terus mewujudkan peluang untuk kami menyertai industri penjanaan dan pengedaran kuasa Malaysia yang semakin berkembang.

“Berdasarkan pengalaman kami dalam membekalkan kabel yang diperlukan untuk kemudahan tenaga boleh diperbaharui (RE), Master Tec juga berada pada kedudukan yang baik untuk memperoleh lebih banyak peluang dalam segmen RE apabila Kerajaan Malaysia mempercepatkan usahanya untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tenaga Cable Industries, Ir.Ts. Nik Hishamuddin Mohamed berkata, kerjasama berkenaan merupakan antara inisiatif yang diambil untuk menyediakan bekalan kabel yang berterusan kepada TNB.

“Ini selari dengan Pelan Transformasi Tenaga Cable Industries di bawah Reimagining TCI 2026 di mana ia memberi fokus kepada salah satu tiang utama iaitu menambah baik perniagaan utama.

“Master Tec sebelum ini pernah bekerjasama dengan TNB melalui  projek antaranya Loji Jana Kuasa Jimah, Port Dickson, dan Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan; Projek Loji Janakuasa Arang Batu Manjung 5, Perak;  dan Pencawang TNB Bukit Ketri, Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN