Malaysia Airports catat 8.2 juta pergerakan penumpang

Malaysia Airports catat 8.2 juta pergerakan penumpang pada September

KLIA yang merupakan pintu masuk utama laluan udara ke negara ini terus merekodkan prestasi memberangsangkan sepanjang berada di bawah kendalian MAHB. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Group (Malaysia Airports) telah mencatatkan sejumlah 8.2 juta pergerakan penumpang untuk kedua-dua operasi Malaysia dan Turkiye pada September lalu, meningkat sebanyak 155.8 peratus tahun ke tahun.

Bagi operasinya di Malaysia, Kumpulan merekodkan sejumlah 5.3 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatan kelolaannya.

Sementara itu, pergerakan penumpang antarabangsa Malaysia sehingga September direkodkan pada 9.27 juta, peningkatan tahun ke tahun sebanyak 1,104.9 peratus disebabkan oleh penyambungan semula perkhidmatan aktif oleh syarikat penerbangan asing.

Pergerakan trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) mewakili 35.2 peratus daripada jumlah operasi Kumpulan atau 2.9 juta.

SAW baru-baru ini meraikan pembukaan laluan metro terbaharu yang menghubungkan lapangan terbang ke stesen Pendik (Tavşantepe) di pusat bandar İstanbul.

Kemudahan pengangkutan baharu itu akan memberikan kemudahan perjalanan selanjutnya kepada penumpang dan akan mengukuhkan kedudukan SAW sebagai yang kedua hab tersibuk di Turkiye.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, prospek industri penerbangan negara bertambah baik dari hari ke hari.

“Pemain industri bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan kami menerima kira-kira 10 juta pelancong antarabangsa menjelang akhir tahun.

“Kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menyokong matlamat ini seperti Pas Perantau DE Rantau yang akan meningkatkan dan menggalakkan lebih banyak mobiliti dalam kalangan profesional digital dan pasangan mereka ke dalam negara.

“Inisiatif lain ialah Program Visa Premium Malaysia baharu yang bertujuan menarik individu bernilai tinggi. Kedua-dua program itu dijangka dapat meningkatkan pergerakan penumpang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, pengembalian semula penarafan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) Malaysia kepada Kategori (Cat1) baru-baru ini dan pemilihan semulanya ke Majlis Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga memainkan peranan dalam meningkatkan ketersambungan rangkaian global lapangan terbang.

Baru-baru ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan kembalinya Kuwait Airways (KU) selepas berehat selama tujuh tahun.

KLIA kini menggunakan laluan Kuwait (KWI) – Kuala Lumpur (KUL) sebanyak dua kali seminggu dan akan meningkatkan kepada tiga kali seminggu pada November.

Hujung bulan ini, dua syarikat penerbangan asing lain iaitu, KLM Royal Dutch Airlines (KL) dan All Nippon Airways (NH) akan menyambung semula operasi penerbangan tanpa henti ke KUL selepas menghentikan sementara operasi akibat pandemik Covid-19.

KL akan beroperasi empat kali seminggu untuk penerbangan Amsterdam (AMS) – KUL, peralihan daripada laluan AMS-Singapura-KUL semasa, manakala NH akan terbang tiga kali seminggu ke KUL dari Tokyo-Haneda (HND), laluan kedua selain daripada laluan semasa operasi Tokyo-Narita (NRT) – KUL.

Selain itu, Turkish Airlines (TK) juga telah meningkatkan kekerapan penerbangan mingguannya untuk laluan Istanbul (IST) – KUL daripada tujuh kepada 10 kali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN