Malaysia Airlines dan Travelport perbaharui perjanjian

Malaysia Airlines, Travelport perbaharui perjanjian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines memperbaharui perjanjian agihan dengan Travelport dalam mengembangkan lagi perkongsian kedua-dua syarikat berkenaan.

Travelport dalam kenyataan berkata, kedua-dua pihak telah mencapai tempoh pembaharuan perjanjian berbilang tahun bagi membawa kandungan Malaysia Airlines kepada pelanggan Travelport seluruh dunia.

Jelasnya, melalui perjanjian kandungan pelbagai sumber baharu yang diperluaskan itu, pelanggan Travelport dapat mengakses kandungan keupayaan pengedaran baharu (NDC) syarikat penerbangan melalui platform peruncitan pelancongan generasi masa depan, Travelport+.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Izham Ismail berkata, Travelport terus menarik perhatian syarikat penerbangan berkenaan melalui pengetahuan teknikal dan berdedikasi membantu Malaysia Airlines memenuhi keperluan perniagaan sepanjang perkongsian selama berdekad.

“Kami yakin Travelport+, bakal menjadi rakan kongsi strategik kami dalam mencapai matlamat perniagaan masa hadapan Malaysia Airlines di mana perkongsian yang diperluaskan penting bagi pelan perniagaan transformatif jangka panjang kami, terutamanya dengan pelaksanaan inisiatif NDC kami.

“Sejak sempadan antarabangsa Malaysia dibuka semula secara rasmi pada 1 April 2022, tempahan penerbangan secara keseluruhan telah meningkat dan telah menunjukkan trajektori menaik dan ia telah menghidupkan semula industri penerbangan yang terjejas teruk ekoran Covid-19.

“Perkongsian yang diperluaskan antara Travelport dan Malaysia Airlines akan memastikan penghantaran kandungan syarikat penerbangan lancar dan mudah kepada semua pelanggan dan pengembara yang berkaitan dengan Travelport di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Rakan Kongsi Udara Asia Pasifik Travelport, Sue Carter menzahirkan keterujaannya untuk bekerjasama dengan lebih erat bersama Malaysia Airlines dengan pembaharuan perjanjian berkenaan.

“Kami sangat teruja bekerjasama lebih erat dengan Malaysia Airlines untuk terus menyampaikan kandungan Travelport yang kaya dan penyelesaian penjenamaan dalam membantu meningkatkan lagi penawaran produk runcit syarikat penerbangan melalui Travelport+.

“Bersama-sama ini kami juga akan bekerjasama untuk memulakan perjalanan NDC Malaysia Airlines bagi melonjakkan inovasi yang akan meningkatkan pengalaman pelanggan runcit dan pengembaraan moden,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN