Mahkamah Bermuda arah pembubaran Genting HK

Mahkamah Bermuda arah pembubaran Genting HK, Dream Cruises

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Bermuda pada 7 Oktober lalu mengarahkan Genting Hong Kong Ltd (Genting HK) bersama anak syarikat tidak langsung bukan milik penuhnya, Dream Cruises Holding Ltd dibubarkan.

Perintah berkenaan merupakan sebahagian daripada rancangan pembubaran kumpulan perkapalan itu selepas berdepan kesan sekatan pergerakan global disebabkan pandemik Covid-19 yang bermula awal 2020.

Dalam makluman kepada Bursa Saham Hong Kong (HKEX) pada Isnin, wakil daripada Alvarez & Marsal mengumumkan bagi pihak kumpulan itu bahawa Genting HK dan Dream Cruises telah diarahkan untuk dibubar oleh Mahkamah Bermuda mengikut Seksyen 161 Akta Syarikat.

Genting HK telah menangguhkan Laporan Audit Tahunan 2021 sejak 7 Jun serta Laporan Interim 2022 bagi tempoh enam bulan pertama 2022.

“Pengumuman selanjutnya akan dibuat oleh syarikat seandainya ada perkembangan material mengenai pembubaran Genting HK dan Dream Cruises ketika dan apabila sewajarnya.

“Edward Middleton dan Tiffany Wong Wing-sze dari Alvarez & Marsal Asia, serta Edward Whittaker dari R&H Services akan terus menjadi pembubar sementara bersama Genting HK dan Dream Cruises.

“Dagangan saham syarikat akan kekal digantung,” kata makluman yang dibuat oleh wakil kumpulan itu.

Pada 11.44 pagi di Bursa Malaysia, Genting Bhd. jatuh 2.04 peratus atau sembilan sen kepada RM4.33 dengan 2.51 juta saham selesai.

Februari lalu, anak syarikat Genting Hong Kong Dream Cruises telah memfailkan pembubaran perniagaannya walaupun syarikat induk itu sebelum ini berkata bahawa operasi pelayaran akan diteruskan.

Kedudukan kewangan Genting HK merosot selepas Covid-19 menjejaskan permintaan perjalanan dan operasi kapal pelayaran di seluruh dunia terhenti hingga  menyebabkan industri itu melaksanakan beberapa penstrukturan semula dan insolvensi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN