MACPC: Bayaran semula penerbangan tergendala

MACPC: Bayaran semula penerbangan tergendala

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal bagi penerbangan yang tergendala merupakan antara penambabaikkan cada­ngan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2022.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, peruntukan baharu tersebut akan memastikan mod pembayaran balik yang konsisten kepada pengguna penerbangan.

Menurut beliau, MAVCOM turut mencadangkan agar syarikat penerbangan menawarkan pilihan bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal sekiranya pe­nerbangan ditangguhkan.

“Kertas rundingan tersebut turut menampilkan cada­ngan peruntukan baharu untuk melindungi pengguna penerbangan yang telah membuat pembayaran terlebih dahulu bagi tiket penerbangan atau pas perjalanan.

“Ini terpakai sekiranya syarikat penerbangan tidak dapat melaksanakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan, seandainya berlaku krisis kewangan seperti penstrukturan semula hutang, pembubaran atau isu pelesenan,” katanya dalam ke­nyataan.

Tambahnya, cadangan pindaan baharu berkenaan turut mengkehendaki syarikat pe­nerbangan memaklumkan dan menyerahkan pelan yang memperincikan penyelesaian pembayaran balik kepada pengguna sekiranya ia menjangkakan gangguan kepada operasinya.

“Pelan yang dikemukakan membolehkan MAVCOM untuk mengambil tindakan dan langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan hak-hak pengguna senantiasa dilindungi,” kata­nya.

Mengulas lanjut, Saripuddin berkata, MAVCOM menjangkakan penambahbaikan MACPC melalui kertas rundingan cadangan pindaan yang dikemukakan itu dapat dilaksanakan pada suku pertama 2023.

Katanya, antara cadangan pindaan terhadap MACPC termasuk perlindungan berkaitan bayaran balik, hak-hak penumpang, pas perjalanan serta pemadaman penerbangan yang telah dibatalkan daripada sistem tempahan syarikat penerbangan.

“Sebagai usaha berterusan untuk melindungi pengguna, Suruhanjaya mengetengahkan beberapa pindaan terhadap MACPC yang amat diperlukan supaya jurang-jurang yang telah dikenal pasti dapat ditangani terutamanya selepas pandemik.

“Sesungguhnya, pengawalseliaan perlindungan pengguna harus diubahsuai supaya ia kekal relevan dan sebagai pe­ngawal selia, ia adalah tanggungjawab MAVCOM untuk mendapatkan maklum balas daripada pengguna penerbangan dan industri untuk memastikan hak-hak pengguna penerbangan dilindungi apabila penerbangan mereka tergendala,” katanya.

Beliau menambah, sesi peng­libatan pihak berkepenti­ngan MAVCOM mengenai cadangan penambahbaikan MACPC telah pun bermula dan ia amat penting bagi Suruhanjaya untuk memastikan pihak-pihak berkepenti­ngan sedar mengenai penambahbaikan MACPC.

“Ia adalah penting bagi pihak Suruhanjaya untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak bagi menentukan penambahbaikan MACPC yang akan dilaksanakan pada 2023 dapat dijalankan secara holistik dan isu-isu yang dikenal pasti dapat ditangani apabila MACPC diwartakan kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN