PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mahu meningkat dan menambah baik portfolio pelaburannya di peringkat antarabangsa sehingga 30 peratus menjelang 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Amlizan Mohamed berkata, pengembangan pelaburan dalam pasaran antarabangsa juga adalah sebahagian strategi pengurus dana pencen itu mempelbagaikan aset untuk menjamin pulangan yang mampan pada masa depan.
“Kami akan meneruskan strategi kepelbagaian untuk mencari pertumbuhan di peringkat global sambil memfokuskan kepada tiga sektor dalam pasaran domestik.
“Setakat ini, KWAP telah melabur di lebih 40 negara dan berminat dengan sebarang peluang yang memberikan pulangan lebih besar tanpa mengambil kira negara sasaran tertentu,” katanya dalam sesi Bual Bicara bersama Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) secara maya, semalam.
Bual bicara yang ke-10 untuk tahun ini dikendalikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani.
Nik Amlizan berkata, bagi pasaran domestik, KWAP lebih berminat dalam pelaburan yang mampu memberi impak kepada masyarakat dan menyumbang kepada pertumbuhan serta lestari terutama yang berdasarkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Pelaburan dalam jaminan keselamatan, tenaga boleh baharu (RE) dan perkhidmatan penjagaan warga emas juga merupakan antara sektor yang menjadi tumpuan kami,” ujarnya.
Menurut beliau, KWAP juga melihat peluang pelaburan dalam industri perbankan memandangkan kaunter berkenaan industri tersebut berkembang sihat di FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), sekali gus memberikan keyakinan kepada pelabur.
“Selain itu, kita mesti bersedia untuk memanfaatkan peluang jika pasaran mengalami kemelesetan kerana itu akan menjadi masa terbaik untuk melihat pulangan yang diselaraskan berada pada tahap yang lebih tinggi.
“Bagi KWAP, kami perlu memastikan kami lebih tangkas, dinamik serta mempunyai bakat selain memastikan organisasi kekal kukuh supaya dapat mengharungi situasi mencabar pada masa hadapan,” ujarnya.
Tambahnya, KWAP akan terus mengkaji pasaran dan keadaan semasa untuk menyediakan pulangan yang sesuai untuk pesara. Sehingga akhir 2021, badan berkanun yang menguruskan skim pencen bagi pekerja awam Malaysia itu memilik saiz dana berjumlah RM159 bilion.
Pada pelancaran program tiga tahunnya dikenali TERAS 5 pada Ogos lalu, KWAP menyasarkan untuk mencapai saiz dana kasar RM200 bilion menjelang 2025. – UTUSAN










