KUALA TERENGGANU: Ketengah Holding Sdn. Bhd. (KHSB), anak syarikat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berjaya merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM67.5 juta bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, jumlah itu melonjak susulan permintaan tinggi industri sawit yang menjadi penyumbang utama kepada KHSB, diikuti perlombongan bijih besi di Al Muktafi Billah Shah, Dungun.
“KHSB menyasarkan RM83 juta keuntungan sebelum cukai sehingga akhir Disember ini dan yakin dapat mencapai sasaran itu dalam tempoh empat bulan lagi.
“Unjuran dijangka terus positif berikutan kestabilan harga minyak mentah dan prestasi harga isirung sawit yang terus memberangsangkan.
“Prestasi cemerlang hasil perniagaan syarikat kumpulan KHSB ini dijangka dapat mengatasi keuntungan sebanyak RM39 juta yang berjaya direkodkan sepanjang tahun 2021,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam kakitangan KHSB di sini, semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa; Pengerusi KHSB, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Ramli Shahul Hameed.
Pada majlis itu, Ahmad turut mengumumkan pemberian dividen KHSB sebanyak RM3.7 juta kepada Ketengah (untuk 2021), RM3 juta untuk Tabung Amanah Masyarakat Ketengah (2021 dan 2022) serta pemberian bonus sebanyak RM1.2 juta kepada lebih 400 kakitangan KHSB.
Antara penyumbang utama kepada pendapatan KHSB ialah Ketengah Perwira Sdn. Bhd. (perladangan kelapa sawit di kawasan seluas 4332 hektar di Bandar Cheneh Baru, Kemaman), Ketengah Jaya Sdn. Bhd. dan Kilang Sawit Panji Alam Sdn. Bhd.
Sementara itu, Ramli berkata, keuntungan yang diperolehi KHSB sangat signifikan untuk penduduk di kawasan wilayah Ketengah kerana hasil sumbangan yang disalurkan kepada Tabung Amanah Masyarakat Ketengah (TAMK) itu adalah untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Menurutnya, TAMK yang diwujudkan sejak 2004 bertujuan menguruskan sumbangan hasil keuntungan syarikat anak Ketengah kepada golongan miskin dan miskin tegar, pesakit kritikal, Orang Kelainan Upaya (OKU), bantuan persekolahan dan sumbangan kepada anak yatim.
“Begitu juga sekiranya berlaku bencana banjir atau wabak seperti COVID-19 yang melanda negara dua tahun lepas, semua penduduk yang terjejas telah diberi bantuan kewangan untuk meringankan beban mereka.
“Oleh itu, KHSB akan terus berusaha meningkatkan lagi jumlah keuntungan syarikat kumpulan agar manfaatnya dapat disalurkan kepada penduduk Ketengah yang memerlukan terutama dari aspek pendidikan, ekonomi, kebajikan dan kesihatan,” katanya.
Ketengah adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang telah diperbadankan pada 12 April 1973 melalui Akta Parlimen dengan tanggungjawab menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seluas 443,876 hektar meliputi pedalaman Daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Pada 12 Jun 1993, Kawasan Pembangunan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu seluas 209,199 hektar telah diwartakan sebagai sebahagian daripada kawasan Ketengah menjadikan keseluruhan wilayah ialah berjumlah 653,075 hektar atau kira-kira satu perdua daripada keluasan Negeri Terengganu. – UTUSAN










