PETALING JAYA: Karnival KeTSA @ Kota Bharu Prihatin anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan berlangsung di Dataran Platinum Mall, Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan bermula 13 hingga 15 Oktober ini.
Menurut KeTSA, program itu berkonsepkan turun padang bagi menyampaikan informasi dan fungsi kementerian serta jabatan/agensi di bawahnya dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di Zon Timur Semenanjung Malaysia.
“Pelbagai aktiviti disediakan antaranya booth perkhidmatan jabatan/agensi kerajaan, pameran, jualan Keluarga Malaysia, Forum Perdana, Fun Run dan Fun Ride, Pertandingan Cabaran Grafiti, Malam Kebudayaan, Kejohanan Bola Sepak, Kota Bharu Auto Show, Konvoi Anak Muda Kota Bharu, Bekwoh (Kenduri Rakyat) menanti pengunjung,” katanya dalam kenyataan.
Karnival akan dirasmikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 14 Oktober 2022 (Jumaat), pukul 9.30 pagi.
Karnival menyasarkan seramai 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari program berlangsung.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan karnival dan tidak melepaskan peluang menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan. – UTUSAN










