Jualan suku ketiga Perodua meningkat lima peratus

Jualan suku ketiga Perodua meningkat lima peratus

ALZA serba baharu yang dilancarkan oleh Perodua, membantu melonjakkan jualan syarikat berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan suku ketiga (S3) 2022 Perodua meningkat 5.0 peratus kepada 69,011 unit daripada 65,719 unit yang didaftarkan pada suku kedua berikutan rantaian bekalan automotif yang semakin baik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, peningkatan pendaftaran pada suku dilaporkan, menunjukkan kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih.

“Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan.

“Buat masa ini, kami memberi fokus untuk meningkatkan momentum ke suku keempat tahun ini serta memaksimumkan pengeluaran pada suku pertama tahun hadapan bagi memastikan semua pelanggan yang menempah kenderaan Perodua dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023,” katanya dalam kenyataan.

Bagi perbandingan suku-ke-suku, pendaftaran kenderaan melonjak sebanyak 216.5 peratus berikutan sekatan yang dikenakan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun lalu ke atas hampir semua aktiviti ekonomi di negara ini bagi mengekang peningkatan kes Covid-19.

Antara Julai dan September 2021, Perodua hanya menjual sebanyak 21,803 unit.

Bagi perbandingan tahun setakat ini, jualan meningkat sebanyak 64.9 peratus kepada 196,354 unit dari Januari hingga September 2022 berbanding 119,093 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, untuk perbandingan bulan ke bulan, jumlah pendaftaran kenderaan Perodua susut 5.43 peratus kepada 24,626 unit pada September daripada 26,039 unit yang didaftarkan pada Ogos 2022.

Setakat 30 Jun 2022, bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian cukai jualan adalah melebihi 200,000 pesanan.

Mengenai pengeluaran, Perodua telah mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat tahun ini dengan 29,077 unit pada September. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN