Johor tubuh Jawatankuasa Pelaburan Khas

Johor tubuh Jawatankuasa Pelaburan Khas

ONN Hafiz Ghazi mempengerusikan mesyuarat berkaitan pelaburan di Negeri Johor di Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pelaburan Khas bertujuan untuk menyelesaikan permasalahan berbangkit berkaitan pelbagai isu yang dihadapi pelabur di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut penting bagi meyakinkan golongan pelabur, khususnya dalam memudah cara operasi perniagaan, sekali gus menggalakkan kemasukan lebih banyak pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi ke negeri ini.

“Jawatankuasa ini dianggotai pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Beberapa perkara telah diutarakan termasuk penyediaan infrastruktur asas seperti utiliti dan jalan raya di kawasan industri, meningkatkan lagi acara konvensyen dan pameran domestik serta antarabangsa, mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab sekuriti makanan serta ‘wishlist’ yang diperlukan sesetengah taman perindustrian,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan pelaburan di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han serta Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Salehuddin Hassan.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga tidak akan berpeluk tubuh dengan kejayaan merekodkan pelaburan berjumlah RM60.9 bilion bagi separuh pertama tahun ini, sebaliknya akan terus bekerja keras demi kesejahteraan rakyat dan negeri.

“Malah, jawatankuasa ini fokus untuk mengenal pasti dan meneliti penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi pelabur. Kerjasama yang ditunjukkan semua ahli jawatankuasa akan terus memacu pelaburan di Johor dan membawa limpahan ekonomi secara berterusan ke negeri ini untuk kesejahteraan rakyat pada masa akan datang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×