Inflasi September lebih rendah 4.5 peratus

Inflasi September lebih rendah 4.5 peratus

PRODUK makanan kekal antara penyumbang tertinggi kepada inflasi neagra. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan kadar inflasi lebih rendah pada 4.5 peratus September lalu berbanding 4.7 peratus bulan sebelumnya.

Kadar inflasi negara bagi tempoh sembilan bulan pertama ialah 3.3 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah berbanding beberapa negara terpilih seperti Zon Euro (10.0%), Amerika Syarikat (8.2%), Filipina (6.9%), Thailand (6.4%), Indonesia (6.0%) dan Republik Korea (5.6%).

“Kenaikan pada September disumbangkan terutamanya oleh peningkatan inflasi kumpulan makanan yang menyederhana kepada 6.8 peratus daripada 7.2 peratus pada Ogos. Kenaikan kumpulan makanan didorong oleh komponen makanan di rumah yang meningkat dengan sederhana iaitu 5.7 peratus berbanding 6.4 peratus pada Ogos.

“Subkumpulan daging merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik telah mencatatkan peningkatan yang lebih perlahan kepada 6.6 peratus pada September berbanding 9.9 peratus pada Ogos.

“Ini disebabkan terutamanya oleh ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan ini mewakili 46.1 peratus telah menunjukkan penyederhanaan kenaikan harga yang signifikan iaitu 3.7 peratus berbanding 10.7 peratus pada Ogos,” katanya dalam kenyataan.

Mustapa berkata, walaupun kumpulan susu, keju dan telur mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 8.8 peratus pada September, namun ia masih lebih perlahan berbanding peningkatan 9.4 peratus pada Ogos.

Jelas beliau, telur ayam menyumbang sebanyak 22.8 peratus kepada keseluruhan wajaran subkumpulan susu, keju dan telur yang turut menyederhana kepada 9.0 peratus berbanding 12.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Katanya, subkumpulan sayur-sayuran juga telah mula menyederhana pada September dengan catatan 6.3 peratus berbanding 8.9 peratus pada bulan sebelumnya.

“Antara sayur-sayuran yang mencatatkan penurunan harga bulan ke bulan adalah tomato (-9.9%), timun (-7.8%) dan kacang buncis (-4.2%). Selain sayuran, beberapa jenis ikan juga mengalami penurunan harga seperti ikan selayang (-3.4%) dan ikan selar kuning (-1.2%),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, harga maksimum minyak masak tulen kemasan botol pelbagai saiz telah merekodkan penurunan berkuat kuasa 8 September hingga 7 Oktober lalu dengan kandungan lima kilogram mencatat pengurangan terbesar, iaitu penurunan daripada RM34.70 kepada RM33.50.

Kata Mustapa, kesan daripada inisiatif ini dapat dilihat dengan jelas melalui kenaikan yang kecil sebanyak 4.8 peratus bagi item minyak sebatian berbanding 6.6 peratus pada Ogos. (Harga siling runcit semasa minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram yang ditetapkan bagi tempoh sehingga 7 November ialah RM31.50).

“Pelaksanaan harga maksimum minyak sawit botol dan penetapan paras harga siling ayam yang diperkenalkan oleh kerajaan telah memberi impak positif dan melegakan pengguna terutamanya golongan peniaga daripada menampung kos bahan mentah yang tinggi sekali gus mengurangkan beban mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, walaupun Parlimen telah dibubarkan, langkah-langkah untuk mengekang kenaikan harga terus dilaksanakan demi memastikan Keluarga Malaysia tidak terus terbeban dengan kenaikan harga barangan.

Jelas beliau, antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuklah harga siling ayam standard di peringkat runcit dikekalkan pada RM9.40 sekilogram, manakala telur ayam gred A, B dan C masing-masing pada harga siling 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji.

Selain itu katanya, pemberian subsidi sebanyak 80 sen bagi sekilogram ayam kepada penternak ayam diteruskan sehingga Disember; pertambahan pemberian subsidi daripada tiga sen kepada lapan sen bagi sebiji telur kepada pengeluar telur ayam dan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti kartel terutamanya bagi ayam dan telur ayam terus ditingkatkan berikutan terdapat dakwaan berlakunya aktiviti mencatu bekalan ayam dan telur ayam sehingga menyukarkan rakyat mendapatkan bekalan.

“Kerajaan sedar mengenai pelbagai aduan yang disiarkan di media massa terutamanya berhubung isu kekurangan telur ayam gred A, B dan C bersubsidi di pasaran. MAFI dan KPDNHEP sentiasa memantau isu tersebut dan akan membentangkan hasil pemantauan semasa Mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada 25 Oktober ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN