PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) Malaysia pada Ogos 2022 merekodkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus bersamaan 4.3 mata kepada 111.3 mata, berbanding 107 mata tempoh sama tahun lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pertumbuhan disokong terutamanya oleh kenaikan kukuh dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan, import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain serta bilangan syarikat baru didaftar.
Jelasnya, berbanding bulan sebelumnya, IP kembali kepada pertumbuhan positif 1.6 peratus pada tempoh dilaporkan daripada negatif 2.0 peratus didorong terutamanya oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan sebanyak 1.1 peratus dan import benar semi konduktor, 1.0 peratus.
“Melangkah ke hadapan, terdapat tanda-tanda bahawa Malaysia akan terus mengekalkan momentum pertumbuhannya seperti yang dijejaki oleh indeks arah aliran jangka panjang terlicin di mana ia kekal melepasi 100 mata,” katanya dalam kenyataan.
Walau bagaimanapun kata DOSM, prestasi pertumbuhan ekonomi bergantung kepada inisiatif yang diambil untuk menangani kos sara hidup dan usaha mengurangkan kesan pertumbuhan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang perlahan. – UTUSAN










