PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) kini diberi kelulusan sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memasang dan mengeluarkan kenderaan elektrik beroda dua (EV) menerusi kemudahan pembuatannya yang akan datang di Glenmarie, Shah Alam.
Anak syarikat milik penuh EPMB, EP Blueshark Sdn. Bhd., pada 26 September 2022 telah menerima Lesen Pengilangan daripada MITI untuk menjalankan aktiviti pemasangan motosikal elektrik.
Kebenaran itu, yang telah diberikan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975, akan diguna pakai secara retrospektif mulai 25 Julai 2022.
Lesen Pengilangan itu membolehkan EP Blueshark mengimport komponen motosikal elektrik dalam bentuk Semi Knocked Down (SKD) dan/atau Completely Knocked Down (CKD) dan dipasang dan dikilangkan di Malaysia untuk diedarkan ke pasaran tempatan dan ASEAN.
EPMB juga telah bekerjasama dengan Sharkgulf Technologies Group Ltd. yang berpangkalan di China untuk memasang, mengeluarkan dan mengedarkan EV dua roda berjenama Blueshark di Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain.
Dengan Lesen Pengilangan daripada MITI, EPMB bersedia untuk mempercepatkan perjalanannya untuk melancarkan 50,000 unit EV dua roda BlueShark secara komersial setiap tahun untuk tahun-tahun awal.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, pihaknya sudah selangkah lebih dekat untuk mewujudkan kemudahan pembuatan baharunya untuk EV beroda dua, dengan lesen yang diberikan oleh MITI.
“Kami menjangkakan untuk memulakan pembinaan kilang pembuatan pada awal tahun 2023 dan menyasarkan untuk menyiapkannya menjelang suku ketiga 2023.
“Kemudahan pembuatan bukan sahaja akan maju dari segi teknologi tetapi juga akan menggaji sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia dalam tenaga kerja dan melatih mereka melalui pemindahan kemahiran dan teknologi.
“Dalam tempoh 3 hingga 10 tahun akan datang, negara Asia Tenggara dijangka menyaksikan pertumbuhan yang ketara dalam pasaran EV beroda dua, mengatasi Eropah dan Asia Timur.
“Saya berbangga untuk memberitahu EPMB akan menjadi pemain terkemuka dalam pasaran untuk meraih potensi pertumbuhan ini,” katanya dalam kenyataan.
Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) dan Homolagasi, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) pada 30 Ogos 2022, telah meluluskan VTA untuk model “Blueshark R1” di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sijil untuk VTA telah dikeluarkan kepada EP Blueshark.
Kelulusan VTA diperoleh kira-kira sebulan selepas EPMB menerima Kelulusan Bersyarat daripada kerajaan untuk membina kilang pembuatan sulungnya untuk kenderaan dua roda elektrik.
Sementara itu, pada 19 September 2022, EPMB mengumumkan bahawa ia telah menandatangani Perjanjian Pelaburan dengan CIS Pride Fund SPC dan Sharkgulf, di mana dana itu akan melabur sekurang-kurangnya AS$50 juta dalam mewujudkan infrastruktur penukaran bateri untuk EV dua roda berjenama Blueshark.
Kumpulan juga telah menandatangani satu lagi Perjanjian Pelaburan dengan Siraj Holding LLC dan Sharkgulf yang berpangkalan di Abu Dhabi, di mana Siraj akan melabur secara berperingkat minimum AS$50 juta dalam mendapatkan kenderaan dua roda berjenama Blueshark daripada EPMB.
Selain itu, EPMB juga telah memeterai Memorandum Persefahaman dengan SJQ Investments LLC dan Sharkgulf yang berpangkalan di Dubai untuk bersama-sama meneroka pengembangan dan pembangunan EV beroda dua untuk pasaran Timur Tengah dan Afrika. – UTUSAN










