Dolar mengukuh, emas kekal lemah

Dolar mengukuh, emas kekal lemah

KEMELUT ekonomi global terus memberi tekanan kepada harga emas di pasaran global. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Harga emas melanjutkan kejatuhannya untuk sesi kelima berturut-turut pada Selasa, ditekan oleh kenaikan dolar dan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, para pelabur meneruskan sikap berhati-hati menjelang data inflasi AS yang akan dikeluarkan akhir minggu ini, lapor Reuters.

Emas spot turun 0.2 peratus kepada AS$1,664.92 (RM7,776.84) seauns, selepas mencecah paras terendah sejak 3 Oktober pada awal sesi. Niaga hadapan emas AS pula susut 0.1 peratus kepada AS$1,673 (RM7,814.58) seaun.

Sementara itu, Reuters melaporkan, harga minyak mentah terus merosot pada Selasa, melanjutkan kerugian hampir 2 peratus pada sesi sebelumnya, disebabkan pengukuhan dolar AS dan peningkatan kes Covid-19 di China sehingga menimbulkan kebimbangan permintaan global yang semakin perlahan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 27 sen, atau 0.3 peratus kepada AS$95.92 (RM448.04) setong, selepas jatuh AS$1.73 (RM8.08) pada sesi sebelumnya.

Minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) pula berada pada AS$90.73 (RM423.80) setong, turun 40 sen, atau 0.4 peratus selepas kerugian AS$1.51 (RM7.05) pada sesi sebelumnya.

Dolar AS terus meningkat pada Selasa, didorong kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah dan ketegangan geopolitik yang meresahkan para pelabur.

Pengukuhan dolar AS mengurangkan permintaan terhadap minyak dengan menjadikannya lebih mahal bagi pembeli yang menggunakan mata wang lain.

“Kenaikan kadar faedah setakat ini mula memperlahankan ekonomi dan beban penuh dasar yang lebih ketat tidak akan dirasai untuk beberapa bulan akan datang,” kata Naib Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Lael Brainard pada Isnin.

Sementara itu, walaupun emas dianggap sebagai lindung nilai terhadap inflasi dan ketidaktentuan ekonomi, kenaikan kadar faedah AS mengurangkan daya tarikan ke atas logam berharga itu.

“Emas kini terperangkap dalam julat AS$1,658 (RM7,744.52) hingga AS$1,676 (RM7,828.60),” kata penganalisis di City Index, Matt Simpson.

Bagi Stephen Innes dari SPI Asset Management pula, jika ekonomi AS yang masih berdaya tahan, mula melemah, minat terhadap emas boleh dilihat.

“Tetapi perlu ada tanda-tanda pasti bahawa Fed bersedia untuk mengambil langkah daripada kenaikan kadar dan penurunan inflasi,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN