CTRM rangkul anugerah kecemerlangan kualiti

CTRM rangkul anugerah kecemerlangan kualiti

SHAMSUDDIN Mohamed Yusof menerima Anugerah Kecemerlangan Kualiti daripada Spirit AeroSystems Inc. (Spirit) di Wichita, Kansas, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar komponen komposit pesawat, Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM ) telah menerima Anugerah Kecemerlangan Kualiti daripada Spirit AeroSystems Inc. (Spirit), pengeluar struktur aero terbesar di dunia untuk kapal terbang komersial, platform pertahanan dan jet perniagaan serantau.

Anugerah itu diumumkan di Simposium Pembekal Spirit 2022 yang berlangsung di Ibu Pejabat Spirit di Wichita, Kansas, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Anugerah tahunan tersebut mengiktiraf pembekal-pembekal global yang mempamer prestasi luar biasa dan mencipta nilai untuk perniagaan.

Tahun ini, sebanyak 15 pembekal telah diiktiraf dalam pelbagai kategori daripada inovasi produk, penghantaran dan kualiti sehingga kepada penjimatan kos dan kelestarian.

Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, Anugerah Kecemerlangan Kualiti adalah bukti keupayaan CTRM menghasilkan produk kualiti bertaraf dunia kepada pelanggannya.

“Kami amat berbesar hati menerima anugerah ini, yang merupakan pengiktirafan terhadap komitmen CTRM yang tidak berbelah bahagi dalam menepati sasaran dan jangkaan Spirit mengenai kecemerlangan kualiti.

“Anugerah ini adalah hasil kerja keras, kerja berpasukan dan dedikasi daripada semua kakitangan CTRM dan akan mendorong kami untuk lebih cemerlang lagi,” katanya dalam kenyataan.

Spirit merupakan antara pelanggan utama CTRM, dan bermula sejak 2000 lagi apabila dianugerahkan projek aerostruktur pertama, bahagian fixed trailing edge untuk pesawat Airbus A300.

Sebanyak 18 program kerja CTRM adalah daripada syarikat yang berpangkalan di Kansas itu, khususnya untuk komponen sayap dan fan cowl untuk syarikat gergasi Perancis, Airbus SE (Airbus), dan Boeing Co (Boeing) dari Amerika Syarikat.

Menurut Shamsuddin, pengiktirafan daripada Spirit merupakan satu dorongan yang datang tepat pada masanya.

“Dua tahun ini merupakan tempoh yang sangat mencabar buat CTRM, namun ia dapat diuruskan dengan baik di mana jumlah pengeluaran diselaraskan bagi mengurangkan impak Covid-19 ke atas industri penerbangan global.

“Dengan kita kini berada dalam fasa pemulihan, pengiktirafan berprestij itu pastinya akan membantu meningkatkan reputasi CTRM dan meningkatkan tahap daya saing kami terhadap peluang perniagaan dalam industri.

“Anugerah ini akan memberi inspirasi kepada kami untuk mengekalkan momentum, berbekalkan semangat, keazaman dan ketabahan, dan sentiasa mendorong kami untuk mengharungi sebarang cabaran yang mendatang,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN