Cradle Fund lulus permohonan dana berjumlah RM8.24 juta

Cradle Fund lulus permohonan dana berjumlah RM8.24 juta

LIMA pengasas startup (penerima geran CIP Spark) bersama pasukan mereka pada majlis ramah mesra penerima geran CIP Spark & CIP Sprint kumpulan 1 di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah meluluskan permohonan 28 syarikat pemula (startup) untuk tiga kumpulan pertama di bawah program CIP Spark & CIP Sprint berjumlah RM8.24 juta sehingga September 2022.

Dilancarkan pada Mac tahun ini, kedua-dua geran bersyarat itu telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan misi menyokong perkembangan holistik dan pengkomersilan startup melalui pelbagai servis nilai tambah untuk mempersiap dan menyediakan mereka dengan pembangunan model perniagaan, penerimaan dan akses pasaran.

Naib Presiden Kanan Geran di Cradle, Juliana Jan berkata, 28 startup yang dipilih terdiri daripada pelbagai industri telah menunjukkan potensi yang besar dari segi penggunaan kemajuan teknologi, inovasi model perniagaan serta solusi penyesuaian pasaran.

“Dengan penganugerahan geran ini, ia akan menjadi sebagai penghubung untuk mereka terus membangun dan mengukuhkan produk mereka, mendapatkan maklumbalas mengenai pasaran mereka dan membantu dalam proses pengkomersialan dan akses kepada pasaran sebelum mereka memasuki proses mendapatkan pelaburan lanjut.

“Ia pasti akan memperluas lagi saluran dana pengkomersialan dalam ekosistem. Cradle, sebagai agensi fokal untuk ekosistem startup di peringkat awal melihat penganugerahan geran ini adalah sebagai satu langkah keyakinan dan usaha yang proaktif selari dengan aspirasi kerajaan untuk dikenali sebagai hub startup yang kompetitif.

“Cradle akan terus menyokong dan memperkasa ekosistem startup tempatan dengan mengetengahkan antara masalah paling utama bagi startup di peringkat awal, iaitu pembiayaan.

“Dengan menawarkan syarikat-syarikat ini dengan geran pembangunan, kami percaya ia akan membantu mereka mempercepatkan proses pengkomersialan produk,” katanya dalam kenyataan.

CIP SPARK adalah geran pembangunan bersyarat yang menawarkan pembiayaan sehingga 18 bulan dan terbuka kepada individu, syarikat persendirian, syarikat perkongsian liabiliti terhad (LLP) dan syarikat Sendirian Berhad.

Manakala CIP SPRINT adalah geran pengkomersialan boleh ubah bersyarat yang menawarkan pembiayaan sehingga 18 bulan dan terbuka kepada syarikat Sendirian Berhad, termasuk universiti dan institut kajian.

Setakat ini, sebanyak 11 startup telah diumumkan sebagai penerima kumpulan pertama. Antaranya syarikat Beebag, CoKeeps, Officio.work, Apping Technology, Green QR, Cloud Theatre, De Eco SR Hygiene, Pinetop Technologies, Core Halal, Delyva dan Neuon Ai.

Sementara itu, Pengasas De Eco SR Hygiene, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada Cradle Fund kerana dana tersebut membantu mereka menambah pekerja dan meluaskan pengaruh dalam pasaran.

“Dana CIP Sprint yang kami terima sebanyak RM320,000 itu akan membantu kami meningkatkan sumber manusia dalam syarikat yang turut ditawarkan kepada pelajar universiti dari golongan B40. Dana itu telah membantu kami menambah dua orang lagi pekerja baharu.

“Selain itu, dana tersebut turut membantu kami dari segi pemasaran dan membuat pengesahan medan (field validation) bagi membuktikan produk kami berkesan kepada pelanggan.

“Setakat ini, kami telah meraih jualan sebanyak RM200,000 dan menyasarkan untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM300,000 menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemu bual di sini, semalam.

Syarikat pemula yang ditubuhkan oleh Universiti Sains Malaysia pada Disember 2020 itu menjual pembasmi kuman udara dan permukaan dengan bahan mesra alam tanpa alkohol yang mampu melindungi sehingga 12 bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN