PETALING JAYA: Pembubaran Parlimen yang berlaku lebih awal daripada jangkaan memberi kesan kepada pasaran saham negara apabila sekali lagi jatuh di bawah paras 1,400 manakala ringgit pula terus melemah.
Pada pukul 9 pagi semalam, Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka pada 1,396.06, susut 9.94 mata daripada penutup Jumaat lalu.
Mata wang ringgit pula terus melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila dibuka pada 4.6620/6700.
Seperti yang dijangka, Bursa Malaysia kemudiannya ditutup lebih rendah pada 1,386.83 jatuh 19.18 mata. Paras psikologi Bursa Malaysia sekitar 1,350 mata. Ringgit pula jatuh ke paras 4.6730 berbanding dolar AS.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keadaan itu di luar jangka kerana pasaran kewangan sedia ada sudah berhadapan dengan kesan perubahan besar yang sedang berlaku di seluruh dunia berikutan cabaran kadar faedah oleh pihak bank pusat AS dan kadar inflasi semasa.
Ujarnya, ia diburukkan lagi dengan penjajaran semula politik Malaysia menerusi pembubaran Parlimen.
“Walaupun ia (pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15) dijangka berlaku dalam waktu terdekat tetapi tidaklah dalam hanya beberapa hari Bajet 2023 dibentangkan dan tanpa melalui proses perlembagaan yang lengkap.
“Perniagaan mahukan kestabilan politik dalam rangka pelaksanaan mereka jadi sudah tentu reaksi jangka pendek dengan pembubaran adalah negatif.
“Namun begitu, untuk jangka panjang sektor swasta ini akan kembali mengubah suai posisi mereka dengan situasi atau arah politik negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa semalam selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.
Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.
Jelas Aimi Zulhazmi, para pengurus dana mungkin mengambil peluang sentimen ini untuk menjual pegangan mereka, menyebabkan situasi panik kepada peniaga runcit yang akan mengikut langkah sama dengan menjual pegangan saham masing-masing.
“Apabila situasi sudah tenang, pengurus dana yang bersaiz besar akan membeli semula saham-saham pada harga yang murah dan memperbaiki kedudukan kewangan mereka.
“Saya juga jangkakan saham-saham syarikat yang dipengaruhi pegangan politik turut akan terkesan sama ada naik ataupun turun harganya.
“Ini akan memberi impak terutama kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kontrak pembekalan atau pembinaan dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN











