BSN SSP: Warga emas menang BMW 320-i berharga RM250,000

BSN SSP: Warga emas menang BMW 320-i berharga RM250,000

JAY Khairy Jeremy Abdullah (empat dari kiri) bersama pemenang-pemenang Cabutan Bulanan BSN SSP-BMW di Auto Bavaria Jalan Tun Razak Kuala Lumpur. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas dari Gombok tidak menyangka ketekunannya menyimpan secara konsisten dalam Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) membuahkan hasil apabila berjaya membawa pulang kereta BMW 320-i M Sport Runout Edition berharga RM250,000.

Zaharah Miro Shamsudin, 76, yang merupakan seorang daripada keseluruhan empat pemenang untuk cabutan bulanan bagi Februari, April, Jun dan Ogos, ternyata teruja apabila terpilih sebagai pemenang.

Ibu kepada lima orang anak, 12 cucu dan dua cicit itu berkata, dia mula menyimpan di BSN sejak 80-an lagi dan akan menambah simpanan setiap bulan walaupun kini sudah tidak bekerja dan menerima duit belanja daripada anak-anak.

“Saya simpan tidak banyak setiap bulan tetapi mesti tetap akan menyimpan. Bila dapat tahu menang hadiah ini saya tidak percaya dan meminta mereka membuat panggilan kepada anak.

“Oleh itu, saya sarankan kepada anak-anak, saudara dan orang ramai untuk sama-sama menyimpan kerana mana tahu boleh mendapat hadiah cabutan bertuah seperti ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah tersebut di Auto Bavaria Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Selain Zaharah, turut memenangi hadiah sama adalah seorang penyelia kilang dari Kedah, Amir Hashim, 56; pesara dari Selangor, Saiful Azhar Mohd. Said, 63; dan pesara guru dari Sarawak, Kueh Siaw Eng, 59.

Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah berkata, BSN SSP sudah mempunyai kira-kira 4.5 juta penyimpan dengan nilai simpanan sebanyak RM4.8 bilion sehingga September lalu.

Menurutnya, kelebihan produk tersebut adalah memberi peluang kepada penyimpan untuk memenangi hadiah sehingga RM1 juta setiap bulan di samping hadiah-hadiah yang lain seperti kereta BMW yang disampaikan majlis tersebut.

“Selain itu, produk yang patuh syariah ini juga menjanjikan dividen yang lumayan. Maksudnya, kalau simpan di SSP bukan sahaja boleh mendapat dividen tetapi boleh menang hadiah sehingga sejuta setiap bulan dan juga kereta BMW.

“Objektif utama kami adalah menggalakkan orang ramai menyimpan selaras dengan mandat kami untuk mewujudkan budaya menyimpan,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai  jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL), beliau memberitahu, BSN mempunyai jumlah yang rendah iaitu pada kadar 1.01 peratus.

“Kalau dibandingkan dalam industri jumlah tersebut satu daripada yang terendah dalam kalangan bank di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya