PETALING JAYA: Mungkinkah Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Monetari dijadual 3 November ini?
Penganalisis ekonomi berpendapat, sebarang kenaikan OPR akan menyebabkan rakyat terutama golongan B40 dan M40 berdepan kenaikkan kos sara hidup yang semakin serius.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Russayani Ismail berpendapat, kenaikkan OPR sebanyak 75 mata asas kepada 2.75 peratus sejak Mei hingga September tahun ini, sudah cukup membebankan rakyat terutamanya golongan B40.
Jelas beliau, walaupun ekonomi negara baharu sahaja mengembang daripada penguncupan yang berlaku selepas keluar daripada fasa pandemik, ia bukanlah masa sesuai untuk BNM menaikkan OPR sekali lagi dalam tahun ini.
“Memang kita kata hendak membendung inflasi tetapi dari segi konteks maksudnya masyarakat atau orang ramai terutamanya golongan B40 dan M40, peningkatan OPR akan menyebabkan peningkatan dari segi kos pinjaman.
“Peningkatan OPR menyebabkan bayaran bulanan meningkat dan walaupun kita risau berlakunya inflasi, apa yang kita lihat dari segi harga barangan memang meningkat tidak selari dengan gaji yang diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Russayani, kenaikkan OPR diikuti dengan harga barang buat masa ini tidak selari dengan kenaikkan pendapatan rakyat yang masih di tahap sama.
“Ia menggusarkan kerana dari segi gaji ia begitu stagnant, tetapi tetapi harga barangan keperluan meningkat dan pada pandangan saya peningkatan OPR sekali lagi bakal memberi kesan dari kos sara hidup atau kemampuan terutamanya terhadapa golongan B40 dan M40.
“Kalau boleh, saya minta tangguhkan kenaikkan OPR sekiranya ia bakal dilaksanakan November ini supaya dapat beri masa untuk kita melihat ekonomi kembali pulih dan dari segi gaji ada perubahan,” katanya.
Tambahnya, ramalan cuaca pada November dan Disember juga turut menjangkakan terjadinya banjir dan sudah pasti ia akan membebankan rakyat (golongan peniaga dan usahawan PKS yang membuat pinjaman) jika OPR dinaikkan.
“Keadaan ini akan menyukarkan lagi peminjam terutamanya mereka yang tidak boleh keluar bekerja terbeban dari segi hutang bertambah dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah kanan Putra Business School, Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff ketika dihubungi memaklumkan, para peminjam di negara ini akan terkesan sekiranya OPR dinaikkan sekali lagi.
“Sekiranya OPR dinaikkan peminjam yang pinjaman bernilai RM300,000 akan mendapati bayaran bulanan mereka melebihi RM200 apabila berlaku kenaikan empat kali dan menambah bebanan kepada mereka,” katanya.
Bagaimanapun Ahmed Razman berkata, pihaknya tidak melihat OPR bakal dinaikkan November ini ekoran BNM tidak pernah mengumumkan kenaikan OPR empat kali berturut-turut.
“Kadar inflasi masih rendah dan peminjam akan terkesan jika OPR dinaikkan kali keempat,” katanya.
Beberapa penganalisis serta firma kajian ekonomi dalam laporan dan kenyataan kepada media sebelum ini memaklumkan, mereka turut menjangkakan kenaikan OPR bulan hadapan.
Pada mesyuaratnya 8 September lalu, MPC memutuskan untuk menaikkan ORP sebanyak 25 mata as kepada 2.50 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus. – UTUSAN










