PETALING JAYA: Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini boleh menikmati pemakanan lebih sihat menerusi kempen #HariHariEveryday anjuran Nestlé EVERYDAY.
Menerusi kempen tersebut, Nestlé EVERYDAY telah mendorong rakyat Malaysia untuk menjana khasiat 10,000 keluarga yang kurang berkemampuan di Semenanjung Malaysia menerusi sumbangan pek ‘Bekalan Nutrisi’.
“Dengan setiap pek ‘Bekalan Nutrisi’ mengandungi Susu Tepung Nestlé EVERYDAY, serta produk lain seperti Bijirin Seisi Keluarga NESTUM 250g, Bijirin KOKO KRUNCH 80g, KOKO KRUNCH DHA 60g dan Mi Kari 2-Minit MAGGI, kempen ini membantu untuk menyokong keperluan pemakanan para penduduk PPR,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Pegawai Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan Susu Nestle (Malaysia) Berhad, Lam Pui Yuee berkata, sebagai sebahagian daripada kempen #HariHariEveryday, Nestlé EVERYDAY telah turun padang untuk mendidik komuniti PPR tentang kekurangan mikronutrien dan berkongsi dengan mereka kebaikan Nestlé EVERYDAY.
Kata beliau, kempen selama dua bulan itu telah menerima sambutan yang amat positif dan syarikat berharap usaha tersebut akan membantu dalam membentuk masyarakat yang lebih sihat.
Ini kerana katanya, antara masalah utama bagi golongan yang mengalami ‘kelaparan tersembunyi’ ialah mereka tidak sedar mereka mengalami kekurangan nutrien dan ia menimbulkan risiko jangka panjang terhadap kesihatan mereka.
“Justeru, mendidik masyarakat tentang isu kesihatan ini merupakan langkah penting dalam membantu rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat di samping membekalkan khasiat menerusi pek ‘Bekalan Nutrisi’,” katanya.
Dalam usaha terus menggalakkan pemakanan yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia, Nestlé EVERYDAY telah menganjurkan peraduan yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dengan tawaran hadiah bernilai lebih RM100,000 termasuk hadiah utama Perodua Ativa, dan empat motosikal Yamaha Eco Gear 125l. – UTUSAN










