PETALING JAYA: AmInvestment Bank menyemak turun unjuran pendapatan untuk Petronas Gas Bhd. (PetGas) sebanyak empat peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berikutan margin keuntungan yang lebih rendah untuk segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula Kumpulan.
Dalam nota penyelidikannya, firma itu berkata, ia mengambil kira kos operasi yang lebih tinggi daripada peningkatan kos bahan api dan jangkaan pertukaran asing yang lebih rendah.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan untuk PetGas bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 dengan mengambil kira bahawa tarif baharu di bawah Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) akan dapat mengimbangi sepenuhnya kos operasi yang lebih tinggi dalam dua segmen terkawal.
Penganalisis AmInvestment, Lucas Tan Jun Sian berkata, semakan semula tersebut dibuat setelah mengambil sumbangan kedua-dua segmen tersebut dalam enam bulan pertama tahun kewangan 2022.
“Pendapatan kumpulan daripada segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula, yang secara kolektif menyumbang 61 peratus daripada keuntungan operasi kumpulan, telah terjejas oleh kos bahan api yang lebih tinggi melalui penggunaan gas dalaman pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022.
“Kami menjangkakan kenaikan kos akan dipulihkan melalui tarif tiga tahun yang disemak semula di bawah RP2 yang akan bermula tahun depan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, memandangkan Harga Rujukan Malaysia, penanda aras utama bagi harga gas asli cecair (LNG) di negara ini meningkat sebanyak 14 peratus dari suku ke suku pada suku ketiga, harga gas dijangka terus meningkat seiring suku keempat.
“Oleh itu, dengan mengandaikan bahawa penggunaan gas dalaman menyumbang lima hingga lapan peratus daripada jumlah kos dalam segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula, kami mengunjurkan kemerosotan selanjutnya dalam pendapatan sebelum faedah dan margin cukai sebanyak dua hingga tiga peratus untuk kedua-dua segmen terkawal pada separuh kedua tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Lucas berkata, perkembangan positif pula bagi segmen pemprosesan gas PetGas yang akan dilindungi daripada harga gas yang lebih tinggi kerana syarikat induknya, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menanggung semua kos penggunaan gas dalaman di bawah perjanjian pemprosesan gas jangka panjang.
“Kami juga menekankan bahawa pendapatan segmen pengegasan semula akan terdedah kepada penurunan dalam ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat kerana caj pajakan untuk terminal pengegasan semulanya di Sungai Udang adalah terutamanya dalam dolar.
“Oleh itu, ringgit yang lebih lemah akan meningkatkan perbelanjaan pajakan, memampatkan margin keuntungan segmen itu,” tambahnya.
Sementara itu, beliau menjangkakan pertumbuhan pendapatan Kumpulan dalam jangka terdekat hingga sederhana akan disokong oleh perbelanjaan modal (capex) yang teguh melebihi RM1 bilion setahun pada tahun-tahun akan datang.
Menurutnya, Kumpulan telah membelanjakan RM430 juta untuk capex pada separuh pertama tahun ini dan menyasarkan untuk meningkatkan perbelanjaan pelaburan bagi baki tahun.
“Kumpulan itu masih belum mencapai keputusan pelaburan terakhirnya mengenai tangki simpanan LNG ketiganya di Pengerang. Keputusan itu dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2022,” jelasnya. – UTUSAN











