LONDON: Selepas ditamatkan perkhidmatan selama beberapa dekad, Stesen Janakuasa Battersea akhirnya telah dipulihkan dan ditukar menjadi destinasi bukan sahaja untuk warga London tetapi juga pengunjung dari seluruh dunia.
Mercu tanda ikonik yang disenaraikan Gred II ini mempunyai lebih 100 kedai, restoran makanan dan minuman serta kedai riadah lain.
Stesen janakuasa milik konsortium Malaysia yang terdiri daripada Sime Darby Property Bhd. dan SP Setia Bhd., masing-masing memegang 40 peratus kepentingan, dengan baki 20 peratus dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu terletak di selatan Sungai Thames.
Aset komersial dalam bangunan stesen janakuasa itu kini dimiliki secara langsung oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan KWSP.
Syarikat Pembangunan Stesen Janakuasa Battersea (BPSDC) yang berpangkalan di Britain sedang menguruskan pembangunan itu.
Stesen Janakuasa Battersea bernilai £9 bilion (RM46.44 bilion) akan dilancarkan pada 12 Oktober ini dan akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 14 Oktober.
“Untuk menandakan detik bersejarah ini, Festival of Power selama lima hari akan berlangsung mulai 14 Oktober dengan aktiviti dan persembahan mesra keluarga percuma yang meraikan warisan unik bangunan itu dan sumbangannya kepada budaya British,” kata BPSDC baru-baru ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan merasmikan pelancaran itu.
Semasa lawatan khas ke United Kingdom (UK) tahun lalu, Seri Paduka menzahirkan rasa bangga dengan keupayaan dan kejayaan syarikat milik Malaysia dan agensi kerajaan menjalankan perniagaan dan pelaburan di UK. – AGENSI










